Keutamaan keluarga dalam Islam

Keluarga Hagnas 24-Sep-2020
Family values, togetherness, Islam
Keutamaan keluarga dalam Islam © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Agama Islam mengajar kita untuk menjaga hubungan kekeluargaan. Dari Abu Hurairah r.a dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kalian saling dengki, saling menipu, saling marah dan saling memutuskan hubungan. Dan janganlah kalian menjual sesuatu yang telah dijual kepada orang lain.

Jadilah kalian hamba-hamba Allah SWT yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lainnya, (dia) tidak menzaliminya dan mengabaikannya, tidak mendustakannya dan tidak menghinanya. Taqwa itu disini (seraya menunjuk dadanya sebanyak tiga kali). Cukuplah seorang muslim dikatakan buruk jika dia menghina saudaranya yang muslim. Setiap muslim atas muslim yang lain; haram darahnya, hartanya dan kehormatannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dari hadis ini, dapat kita ketahui bahawa menjaga persaudaraan dengan keluarga, mengelakkan pertelingkahan dan permusuhan serta saling ingat-mengingati adalah satu perkara yang mulia. Hadis ini menekankan bahawa, sebelum kita ahli keluarga dan saudara, kita adalah hamba Allah SWT.

Setiap perbuatan baik kepada keluarga adalah untuk mencapai keredaan Allah SWT. Bila niat kita adalah untuk mencapai reda-Nya, kita akan lebih mudah menghadapi permasalahan dalam keluarga. Kita akan menghadapi sebarang permasalahan dengan lebih sabar dan toleransi. Kita adalah hamba Allah dan kita semua tidak sempurna. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Dari Abdullah Ibn Amr, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rahmatilah orang lain, dan kamu akan dirahmati. Maafkan kesalahan orang, dan Allah akan memaafkanmu.” (Musnad Ahmad)

Dalam hadis yang lain, ada diterangkan tentang pahala orang yang menjaga keluarganya. Setiap yang dibelanjakan untuk keluarga dikira sedekah. Daripada Saad bin Abi Waqqas r.a, aku telah berkata: “Ya Rasulullah, Bolehkah aku mewasiatkan kesemua hartaku?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan separuh daripadanya?”

Rasulullah SAW menjawab: “Tidak boleh”, Aku bertanya lagi: “Bagaimana dengan satu pertiga daripadanya?” Rasulullah menjawab: “Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan warismu dalam keadaan kaya atau mencukupi, ia lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan (bantuan) manusia.” (Sahih Bukhari)

Nabi Muhammad SAW telah memberi nasihat kepada seorang sahabat yang berpuasa dan tidak berbuka, yang solat sepanjang malam, dan mengingatkan kita tentang kepentingan keluarga dalam Islam.

Abdullah bin Amr r.a meriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW memanggilnya, dan menasihatinya agar tidak berlebihan dalam beribadah. Rasulullah SAW bertanya, “Aku diberitahu bahawa engkau selalu puasa di siang hari tak pernah berbuka, dan shalat di malam hari tak pernah tidur?  Ketahuilah bahawa matamu ada hak ke atas kami, dan dirimu juga mempunyai hak ke atas kamu dan keluargamu juga mempunyai hak ke atas kamu.” (Sahih Bukhari)