Khairuddin al-Ramli, ahli fiqah Mazhab Hanafi

Dunia Arab Hagnas 10-Okt-2020
dreamstime_s_121860742
Imam al-Ramli membina perpustakaan - meminjamkan buku-buku kepada para ulama © Kiryl Balbatunou | Dreamstime.com

Khairuddin al-Ramli merupakan seorang ahli fiqah, ulama dan penulis yang tinggal di Palestin pada kurun ke-17, pada zaman Palestin berada di bawah Khalifah Uthmaniah. Beliau dikenali sebagai seorang ahli fiqah yang berpengaruh dalam Mazhab Hanafi. Beliau telah mengeluarkan beberapa fatwa dalam masalah-masalah penting yang dipraktikkan secara meluas dalam Mazhab Hanafi pada kurun ke-18 dan ke-19.

Ulama fiqah, dianggap seorang mujaddid

Jasanya sebagai seorang ulama fiqah menjadikan beliau terkenal lagi berpengaruh. Ada yang menganggap bahawa Imam Khairuddin al-Ramli merupakan seorang mujaddid pada abad itu, iaitu seorang yang memperbaharui kembali usaha untuk menegakkan urusan agama. Ini adalah berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang mengatakan bahawa mujaddid akan muncul setiap 100 tahun.

Khairuddin al-Ramli telah dilahirkan di Bandar Ramla (sekarang terletak di Israel, 24 kilometer dari timur Tel Aviv) pada tahun 1585 Hijrah. Sebenarnya gelaran nama beliau iaitu ar-Ramli, merujuk kepada tanah kelahiran beliau ialah Ramla.

Ada beberapa ulama yang lain juga mempunyai gelaran nama yang sama iaitu Shamsuddin al-Ramli, yang hidup lebih awal dari beliau. Tetapi ini bukanlah merujuk kepada tali persaudaraan, tetapi sebaliknya merujuk kepada tempat asal yang selalunya berbeza.

Kadang-kadang nama-nama setengah tempat berbeza mempunyai ejaan yang sama. Sebagai contoh Shamsuddin al-Ramli telah dilahirkan di ‘Ramli’ yang berbeza, iaitu Ramli Banha, yang terletak 50 km dari utara Kaherah. Keturunan Khairuddin al-Ramli sampai kepada Abdullah, iaitu anak kepada khalifah kedua, Umar al-Khattab r.a.

Pada usia 24 tahun, Khairuddin telah pergi ke Mesir bersama adik-beradiknya dan beliau telah memasuki universiti terkenal dalam dunia Islam iaitu Universiti Al-Azhar. Seorang ulama terkenal, Sheikh Fayed, telah menjadi gurunya dan telah mengajarkannya segala rahsia dan hikmah dalam ilmu fiqah.

Bermimpi bertemu dengan Imam as-Shafie

Khairuddin pada mulanya ingin mempelajari Mazhab Shafie, tetapi abangnya membantah hasratnya ini. Khairuddin berasa sangat bimbang. Pada suatu hari, beliau bermimpi bertemu dengan pengasas Mazhab Shafie iaitu Imam as-Shafie, yang telah muncul lalu mengatakan ‘Kita semua berjalan di atas jalan lurus yang sama.’

Seorang ulama al-Azhar telah mentafsir mimpi ini. Ulama itu mengatakan kepada beliau supaya tidak menentang hasrat abangnya. Seterusnya, beliau telah mempelajari Mazhab Hanafi, seperti yang telah dinasihati.

Khairuddin dan abangnya Tajuddin telah berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran mereka. Hasilnya, rektor universiti, Sheikh Abdullah al-Nahiri telah menjemput mereka ke rumah beliau untuk belajar secara tertutup mengenai Mazhab Hanafi.

Khairuddin telah menamatkan pengajiannya di universiti empat tahun kemudian, iaitu tahun 1603, sebelum beliau pulang ke Ramla. Di sini, beliau mula mengajar dan mengeluarkan hukum fiqah, selain menguruskan dan mentadbir masjid-masjid dan sekolah-sekolah.

Khairuddin al-Ramli tidak menerima jawatan rasmi sebagai mufti daripada pentadbiran Kerajaan Uthmaniah. Maka, aktiviti beliau tidak dapat ditanggung menggunakan dana Kementerian Waqaf (aset keagamaan). Untuk menaja kegiatan keagamaan beliau, Imam Khairuddin al-Ramli telah mengusahakan pertanian.

Imam al-Ramli mempunyai pengaruh yang tinggi

Beliau telah membeli tanah yang subur dan mengusahakan tanaman zaitun, tin dan buah-buahan yang lain. Dana yang terhasil dari aktiviti pertanian ini membolehkan Imam al-Ramli menguruskan sekolah dan membayar gaji kepada guru-guru dan pelajar-pelajar.

Beliau juga berjaya membina masjid-masjid, membiayai imam-imam di desa dan membina sebuah perpustakaan yang besar yang mempunyai kira-kira 1200 buah buku. Buku-buku ini dipinjamkan kepada para ulama di kampung-kampung berdekatan.

Walaupun beliau tidak mempunyai jawatan rasmi, Imam al-Ramli tetap mempunyai pengaruh yang paling tinggi. Fatwa beliau sangat dihargai dan dihormati lebih tinggi daripada fatwa-fatwa mufti yang rasmi.

Tambahan pula, beliau turut melaksanakan kaedah tersendiri untuk mengiktiraf dan memberi ijazah kepada para imam dan ahli fiqah dan sijil pengiktirafan beliau ini sangat dihargai. Kemahsyuran beliau telah sampai ke Jerusalem, Damsyik dan Mekah.

Ahli-ahli fiqah dan mufti-mufti terkenal dari mana sahaja datang kepada beliau memohon pandangan dan nasihat beliau. Malah Mufti Besar Jerusalem pernah meminta kepada beliau supaya menguji beliau dalam ilmu perundangan Islam dan mengeluarkan sijil pengiktirafan kepadanya.

Selepas kematian Imam al-Ramli, fatwa-fatwa beliau telah diterbitkan dalam beberapa koleksi penulisan yang berbeza. Pada zaman kita, fatwa-fatwa ini sangat berharga yang turut digunakan untuk menentukan hak-milik sesuatau kawasan geografi di Palestin dan sering juga digunakan untuk justifikasi norma-norma dan isu-isu legislatif atau perundangan yang berkaitan.