Khalifah Uthman r.a: Zun-Nurain dan 12 tahun kejayaan

Islam untuk Pemula 16 Nov 2020 Hanita Hassan
madainproject.com – uthman tomb, bfr1925-Jannat ul-Baqi cemetery, Medina
Makam Uthman r.a sebelum 1925, sekarang di lokasi Jannat ul-Baqi, Madinah © madainproject.com

Pada hari Jumaat tanggal 18 Zulhijah tahun 33 hijrah, ketika Saidina Uthman Affan r.a sedang membaca al-Quran dan bersembahyang, beliau diserbu dalam jumlah yang ramai.

Dalam usia Uthman r.a 82 tahun, beliau meninggal dunia setelah ditetak di kepala, jatuh tersungkur ke bumi.  Darah di wajahnya menitik membasahi al-Quran yang dibaca tepat pada ayat yang bermaksud:

“Maka cukuplah Allah, yang akan menyelesaikan urusan kamu terhadap mereka.  Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah, ayat 137)

Khalifah Uthman bin Affan r.a, Zun-Nurain

Uthman bin Affan bin Abu Al-As r.a berketurunan Bani Umayyah.  Lahir pada 576 Masihi di Mekah al-Mukarramah.  Menjadi khalifah pada tahun 644-656 Masihi.  Berasal dari keturunan bangsawan dan hartawan Quraisy, Uthman adalah antara yang terawal memeluk Islam. Beliau juga tergolong 10 sahabat yang dijamin syurga.  Usianya enam tahun lebih muda daripada Nabi Muhammad SAW.

Saidina Uthman r.a digelar ‘Pemilik dua cahaya’ atau Zun-Nurain kerana mengahwini dua cahaya mata Rasulullah SAW iaitu Ruqayyah r.a dan Umi Kalthum r.a.  Selepas Ruqayyah meninggal dunia, Baginda mengahwinkan pula Uthman dengan anaknya Umi Kalthum.

Sebelum peristiwa pembunuhan Uthman r.a, beliau bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Di samping Baginda ialah Abu Bakar r.a dan Umar r.a. Ucap Rasulullah:  “Marilah berbuka bersama kami.”  Mimpi itu membuatkan Uthman mengerti bahawa ajalnya akan tiba.

Beliau berpuasa pada hari pembunuhannya, memakai seluar labuh supaya  auratnya tidak terbuka jika dibunuh. Saidina Uthman r.a seorang pemalu. Oleh kerana sikap pemalu itu, malaikat juga malu kepadanya. Bahkan Nabi Muhammad SAW juga malu dengan beliau.

12 tahun menjadi khalifah, pelbagai kejayaan dicapai

Selama 12 tahun menjadi khalifah, Islam telah mencapai kegemilangannya. Banyak wilayah baharu dibuka di samping pengukuhan ekonomi umat Islam dan penghapusan monopoli Yahudi terhadap ekonomi Madinah. Seorang ahli politik yang hebat kerana kedudukannya sebagai pembesar Quraisy. Kekayaannya diperoleh semasa menjadi saudagar kain. Beliau juga baik hati dan pemurah.

Ketika Rasulullah SAW menggesa para sahabat berinfaq, Saidina Uthman r.a menyahut seruan Baginda SAW sebanyak tiga kali dengan menginfakkan 300 ekor unta lengkap barangan di atasnya dan 10,000 dinar untuk kegunaan tentera Islam semasa perang Tabuk.

Beliau juga telah membeli sebuah telaga milik seorang Yahudi semasa kemarau. Kemudian beliau menginfakkannya kepada seluruh penduduk Madinah tidak mengira bangsa dan agama bagi mengatasi masalah air.

Usaha Uthman r.a yang penting ialah membukukan al-Quran dalam bentuk mushaf dan membolehkan kita melihat dan membaca kitab suci ini sehingga ke hari ini.  Pembukuan mushaf selesai pada 652 Masihi atau 19 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Meskipun pelbagai kejayaan dilakukan Uthman r.a namun ada sahaja yang tidak senang dengan beliau terutama orang Yahudi dan munafik. Justeru, berhati-hatilah dengan golongan ini dalam meniti kehidupan yang penuh cabaran.