Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Khat Riq’ah – seni Islam yang berasal dari Kerajaan Turki Uthmaniyah

Budaya 14 Jan 2021
Terkini oleh Md Wa'iz
Khat Riq’ah - seni Islam yang berasal dari Kerajaan Turki Uthmaniyah
Khat Riq’ah - seni Islam yang berasal dari Kerajaan Turki Uthmaniyah © Zehra Başak | Dreamstime.com

Dalam seni kaligrafi orang-orang Islam, terdapat pelbagai jenis tulisan khat yang pernah dicipta dan digunakan. Salah satunya ialah khat Riq’ah. Apa ciri menarik mengenai khat Riq’ah ini?

Dalam bahasa Arab, Riq’ah atau Ruq’ah ini bermaksud kain. Dalam Kamus Dewan pula, perkataan ini membawa maksud ‘cebisan’. Nama ini diberikan memandangkan ia sering ditulis pada cebisan kain atau kertas yang kecil.

Sejarah ringkas khat Riq’ah

Khat Riq’ah ini merupakan sejenis tulisan atau kaligrafi yang dicipta oleh orang-orang Turki. Ia dicipta sekitar tahun 1280 Hijrah iaitu semasa pemerintahan Sultan Abd al-Majid Khan, pemerintah Empayar Uthmaniyah. Antara tujuan utama seni khat ini dicipta adalah untuk menyeragamkan tulisan dalam urusan rasmi Kerajaan Uthmaniyah.

Kemunculan khat Riq’ah ini banyak disebabkan faktor perkembangan seni kaligrafi di Turki pada masa itu. Kaligrafi bukan hanya menjadi medium komunikasi bertulis, tetapi juga banyak diterapkan dalam unsur lain seperti hiasan pada seni bina bangunan.

Kaligrafi juga banyak ditemukan dalam aspek ekonomi, sosial, politik bahkan keagamaan. Semasa pemerintahan Kerajaan Uthmaniyah, khat Riq’ah ini digunakan dengan meluas dan menjadi salah satu tulisan yang paling banyak digunakan oleh orang-orang Turki pada ketika itu.

Kini, ia telah menjadi salah satu daripada seni tulisan yang digemari oleh orang-orang Arab.

Ciri-ciri khat Riq’ah

Dasar asas bagi khat Riq’ah ialah daripada khat Nasakh. Antara ciri khusus bagi seni tulisan ini ialah bentuk hurufnya yang kecil serta mudah ditulis. Bukan itu sahaja, ia juga lebih cepat untuk ditulis berbanding jenis khat yang lain.

Tulisan ini ditulis daripada arah yang berpenjuru atau bersudut. Kesemua huruf dan titik huruf akan disambungkan dalam satu tulisan perkataan. Anda boleh menulis satu perkataan tanpa perlu mengangkat mata pen anda.

Siapakah pengasas kepada khat Riq’ah?

Individu yang betanggungjawab meletakkan asas penulisan khat Riq’ah ialah Mumtaz Bek. Mumtaz Bek adalah seorang ahli kaligrafi yang berbangsa Turki. Tulisan ini kemudiannya disempurnakan bentuk serta susunannya oleh seorang lagi penulis khat bernama Muhammad Izzat.

Kaedah yang dilengkapkan oleh Muhammad Izzat ini kini telah menjadi panduan penulisan khat Riq’ah di seluruh dunia. Tidak dinafikan bahawa terdapat juga ahli kaligrafi dari negara-negara lain yang membuat beberapa perubahan pada konsep tulisan Riq’ah ini seperti penulis khat dari Mesir, Syria dan Jordan.

Namun, bagi tulisan khat Ri’ah yang asli, kita perlu melihat kepada kaedah daripada Muhammad Izzat.

Penggunaan khat Riq’ah dalam masyarakat Malaysia

Jika kita melihat di dinding-dinding masjid atau bangunan ikonik lain di sekitar Malaysia, kita pasti dapat melihat khat ayat-ayat Al-Quran diterapkan padanya. Namun, kesemuanya banyak menggunakan tulisan khat Nasakh, Thuluth dan Kufi sahaja.

Agak sukar bahkan mungkin tiada langsung bangunan yang menggunakan khat Riq’ah sebagai tulisan utama. Ini kerana, penggunaan khat Riq’ah banyak berfungsi ketika menulis nota sahaja berbanding jenis khat lain yang banyak digunakan sebagai hiasan dan penerbitan bahan bercetak.

Namun, sudah banyak usaha mula dilakukan bagi mempopularkan tulisan khat Riq’ah ini. Salah satunya adalah sebagai salah satu kurikulum wajib pelajar sekolah-sekolah agama di beberapa negeri di seluruh Malaysia.