Khulafa Ar-Rasyidin dan empat khalifahnya

Kepercayaan Abi Aasim 12-Mei-2020
Nama Saidina Ali (kanan) di Muzium Hagia Sophia, Turki © David Pillow - Dreamstime.com

Penghijrahan Rasulullah SAW telah membawa kepada pembukaan kota Madinah yang kemudiannya menjadi pusat pemerintahan Islam yang baru. Setelah kewafatan Baginda Rasulullah, pemerintahan Islam telah disambung oleh Khulafa Ar-Rasyidin.

Pada zaman Khulafa, kerajaan Madinah mempunyai sumber ekonomi yang kukuh dan boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat. Ketika itu, pelbagai aspek pemerintahan Islam terserlah seperti aspek politik, ekonomi, dakwah dan juga pengurusan negara. Khulafa Ar-Rasyidin yang dimaksudkan ialah:

Saidina Abu Bakar atau Abdullah bin Uthman r.a. (632–634 Masihi). Abu Bakar (nama gelaran) merupakan sahabat Baginda SAW yang sentiasa membenarkan percakapan Baginda sehingga digelar As-Siddiq. Abu Bakar juga merupakan ayah kepada isteri Nabi, Aisyah r.a. Beliau dilantik sebagai khalifah yang pertama setelah kewafatan Baginda. Antara sumbangan Abu Bakar ialah:

  • Menghapuskan golongan murtad dan nabi palsu
  • Mengembangkan syiar Islam hingga ke negara Rom dan Parsi
  • Memerangi golongan yang tidak mengeluarkan zakat
  • Mula mengumpulkan ayat-ayat Al-Quran

Saidina Ummar bin Al-Khattab r.a. (634–644 Masihi). Umar merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang terkenal dengan sikap tegas dan keperwiraannya. Umar juga merupakan ayah mertua Baginda. Abu Bakar telah melantik Umar sebagai khalifah setelah beliau meninggal dunia. Antara sumbangan Saidina Umar ialah:

  • Memperkenalkan sistem gabenor bagi jajahan yang ditakluki Islam
  • Memperbaiki sistem percukaian
  • Memperkuatkan sistem pertahanan
  • Memperkenalkan sistem rekod untuk tentera

Saidina Uthman bin Affan r.a. (644–656 Masihi). Uthman adalah sahabat Nabi SAW yang terkenal dengan sikap pemurah dan juga hebat dalam perniagaan. Beliau juga merupakan menantu kepada Baginda yang telah berkahwin dengan dua puteri Nabi. Antara sumbangan beliau ialah:

  • Pembukuan Al-Quran
  • Pembesaran Masjid Nabawi
  • Memperluaskan empayar Islam
  • Menyebarkan dakwah Islam

Saidina Ali bin Abi Talib r.a. (656–661 Masihi). Ali merupakan sepupu Baginda SAW. Beliau juga merupakan menantu Baginda. Beliau telah berkahwin dengan Fatimah r.a, puteri Nabi. Antara sumbangan Saidina Ali sewaktu menjadi Khalifah ialah:

  • Menyatukan umat Islam yang berpecah akibat pemberontakan sewaktu pentadbiran sebelumnya
  • Pemerintahan yang menjamin keamanan masyarakat

Kehebatan Khulafa Ar-Rasyidin ini memerintah dan mentadbir negara perlulah dijadikan contoh. Pemerintahan berteraskan Al-Quran dan hadis ini pastinya mampu menjamin kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.