Khusyuk dalam solat sebaik mungkin

Agama Hanita Hassan 10-Ogo-2020
Khusyuk dalam solat © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

Umat Islam harus berusaha sebaik mungkin untuk khusyuk semasa melakukan solat. Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.”

(Surah Al-Mukminun, ayat 1-2)

Mendapat kemenangan, kebahagiaan dan keberuntungan

Ibnu Kathir r.a berkata: “Maksudnya mereka telah mendapatkan kemenangan, kebahagiaan serta memperoleh keberuntungan.  Mereka itulah orang-orang Mukmin yang bersifat dengan sifat-sifat ini: Orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” Syeikh al-Maraghi berkata: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyang.”

Khusyuk bermaksud kelembutan dan ketenangan hati.  Apabila hati berasa khusyuk, anggota badan lain juga akan mengikutnya.  Hati akan melupakan perkara lain dan memberi keutamaan kepada solat.  Ketika itulah solat akan menjadi penyejuk hati.

Seorang sahabat bernama Uthman bin Abil Ash pernah datang mengadu kepada Rasulullah SAW:  “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.”  Rasulullah SAW menjawab:  “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib, apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah tiga kali ke kiri dan berlindunglah kepada Allah SWT, aku pun melakukan hal itu dan Allah menghilangkan gangguan itu daripadaku.”  (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mengajar supaya meminta perlindungan kepada Allah SWT dengan mengucapkan ‘A’uzubillahi minas syaitanir rajiim’ dengan lafaz bukan membaca dalam hati dan ia tidak membatalkan solat.  Kemudian hendaklah meludah sedikit dengan meniupkan di sebelah kiri dan tidak mengganggu orang lain serta tidak mengotori masjid.

Sesungguhnya melakukan solat dengan penuh khusyuk dan ikhlas sebagai tanda kepatuhan, kesyukuran dan keimanan terhadap Allah SWT. Semakin usia meningkat, kualiti solat juga seharusnya meningkat. Kita  solat lima kali sehari tepat pada waktunya. Walau sibuk sekalipun, tinggalkan sebentar pekerjaan yang sedang anda lakukan, ambil masa seketika, berwuduk dan solatlah demi mencapai kejayaan dunia dan akhirat.

Solat itu tiang agama, zikir agung

Solat itu tiang agama. Ia adalah zikir agung dan solat fardu adalah ibu zikir. Maka khusuk sewaktu melaksanakan solat akan menghampirkan diri kepada Allah SWT dan benar-benar ikhlas melakukan ibadah kerana Allah.

Malang dan amat rugi bagi mereka yang bersolat tetapi solat mereka tidak berkualiti disebabkan kelalaian serta tiada ilmu.  Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Maka celakalah bagi orang-orang yang solat (iaitu) orang-orang yang lalai daripada solatnya.”

(Surah al-Maa’uun, ayat 4-5)

Dalam setiap solat yang kita lakukan, solatlah seolah-olah inilah solat terakhir kita.  Kehidupan selepas mati adalah pasti dan solat adalah bahagian terpenting yang akan disoal oleh Allah SWT. Tidak ada perkataan terlewat dalam kamus hidup sekiranya kita mahu berubah. Justeru marilah kita tingkatkan ilmu tentang solat.

Abu Hurairah r.a  berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:  “Sesungguhnya yang pertama kali dihisab pada hari kiamat daripada amalan manusia adalah solatnya, jika amalan solatnya baik maka dia akan bahagia dan beruntung, jika amalan solatnya buruk maka dia termasuk orang-orang yang rugi.

Jika terdapat kekurangan sedikit pada amalan solat fardunya, maka Allah SWT berfirman:

“Lihatlah (hai para malaikat) apakah hambaku mengerjakan solat sunat untuk menyempurnakan solat fardu yang kurang, kemudian seluruh amalannya diperlakukan seperti itu.”

(Sahih Tirmidzi, Ibnu Majah no 193, 1425, 1426)