Khutbah terakhir Rasulullah SAW

Agama Hanita Hassan 20-Jul-2020
Gunung Arafah dari kejauhan © Samet Guler | Dreamstime.com

Setiap kali bulan Zulhijah tiba tidak lama lagi, kita perlu mengenang kembali khutbah terakhir yang pernah disampaikan oleh Rasulullah SAW. Khutbah itu disampaikan pada 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Rasulullah SAW yang kita sayangi bersabda yang maksudnya:

“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan.  Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.  Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.  Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.

Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah SWT telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu.  Dan dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.

Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembut terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia.  Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh mengizin masuk orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan mereka dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah baik-baik kata-kataku ini, sembahlah Allah SWT, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu.  Kerjakan ibadah haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali atas dasar takwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah SWT pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan.  Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru.  Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya.  Itulah Al-Quran dan Sunahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini, menyampaikan pula kepada orang lain.  Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar dariku secara langsung.  Saksikanlah ya Allah SWT, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.”

(Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmidzi, Abu Daud, Ibn Majah dan lain-lain)

Sampaikanlah pesanan Rasulullah SAW ini.  Semoga keimanan kita bertambah kukuh. Aamin, ya Rabbulalamin.