King of Smule, Khai Bahar ke Istana Budaya

Budaya Adea Ghafar 23-Jan-2020
Aplikasi Smule
Aplikasi Smule © Maneesh Upadhyay | Dreamstime.com

Khai Bahar, penyanyi yang dicungkil bakatnya daripada aplikasi Smule, akan mengadakan konsert solonya, ‘Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia’ di Istana Budaya pada Mac ini. Berasal dari Kangar, Perlis, Khai berkata konsert sulungnya yang akan diadakan pada 27 dan 28 Mac itu adalah satu pengiktirafan atas penglibatannya dalam industri muzik tanah air. Muhammad Khairul Baharuddin atau Khai, 25, telah digelar King of Smule oleh para peminatnya di rantau Asia apabila sering menyanyikan lagu ‘cover’ dalam aplikasi itu di sekitar tahun 2016.

Menurut Khai, konsert yang dianjurkan oleh Ogy Ventures itu akan menampilkan persembahan yang berlainan daripada biasa. Khai yang popular dengan lagu ‘Luluh’ dan ‘Ratuku’ dijangka akan menyampaikan 20 buah lagu. Beliau berharap konsert ini akan menjadi inspirasi kepada penyanyi dalam aplikasi Smule untuk menonjolkan bakat mereka di mata dunia. Konsert ini bakal memperlihatkan pendiriannya yang amat berbeza, yang belum pernah dilihat oleh peminatnya.  Khai telah dijadualkan untuk menyanyi lagu dalam pelbagai bahasa, dan ini masih menjadi rahsia hingga kini.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani ketika ditemui berkata,  konsert ini juga adalah sebahagian daripada usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) yang ditujukan kepada semua peminat Khai, bukan sahaja di Malaysia malahan di Singapura, Indonesia, Thailand dan beberapa negara Asia yang lain.

Program-program VM2020 seperti konsert ini diharap dapat menarik penyertaan ramai para peminat muda. Mohamed juga turut gembira dengan peminat antarabangsa Khai Bahar terutamanya dari Singapura, Indonesia, Brunei dan selatan Thailand yang akan berpeluang menyaksikan konsert ini. Tiket Konsert Khai Bahar: Dari Smule ke Pentas Dunia dijual bermula hari ini dan boleh didapati di www.airasiaredtix.com