Kisah bahtera Nabi Nuh a.s – peringatan kepada manusia

Dunia Hanita Hassan 16-Nov-2020
dreamstime_s_105517249
Gunung Judi (Cudi Mountain) di Sirnak, Turki © Adonis1969 | Dreamstime.com

Nabi Nuh a.s diperintahkan Allah SWT membina sebuah bahtera dan ia bermula dengan menanam pokok al-Saj terlebih dahulu selama 20 tahun. Kemudian Baginda membina kapal menggunakan kayu pokok al-Saj itu selama 40 tahun.

Diriwayatkan ada pendapat mengatakan bahtera Nabi Nuh a.s dibina selama 100 tahun dan ada mengatakan 400 tahun.

Allah SWT memerintahkan Nabi Nuh a.s membina kapal

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); dan janganlah engkau merayu kepada-Ku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan).”

(Surah Hud, ayat 37)

Diriwayatkan bahawa Jibril a.s mengajar Nabi Nuh a.s membina kapal. Allah SWT memerintahkan Baginda membina kepala dan ekor kapal berdasarkan kepada bentuk kepala dan ekor ayam jantan, dengan bahagian depannya seperti burung.  Bahtera Nabi Nuh a.s dikatakan mencapai saiz antara 60 dan 70 meter panjang dan lebarnya antara 25 dan 30 meter.

Kapal tiga tingkat setinggi 10 meter ini disokong dengan kekuatan kayu-kayu menggunakan paku besi.  Ia mempunyai dinding dan daun pintu kayu.  Pada bahagian tengah, setiap ruas kayu berbeza jenisnya. Disambung dengan teknologi tanggam disaluti dengan sejenis gam bernama ‘tir’ yang mampu menahan kemasukan air selama tempoh lebih 40 hari di atas permukaan air.

Pada tingkat pertama ditempatkan haiwan buas serta binatang melata serta singa. Manakala tingkat kedua adalah binatang liar dan burung. Tingkat ketiga adalah manusia.  Dikatakan bilangan anak Adam atau manusia yang menyertai kapal tersebut adalah 80 orang separuh lelaki dan separuh perempuan.

Ada pendapat mengatakan 72 orang dan isteri Nabi Nuh serta anak-anaknya yang mencukupkan 78 orang. Separuh daripadanya lelaki dan yang lain adalah perempuan. Ada pendapat mengatakan 10 orang dan ada pendapat lain daripada itu.

Kisah Nabi Nuh a.s adalah peringatan kepada manusia

Mereka dikatakan terapung di dalam air atau dalam banjir selama 150 hari. Kemudian baharulah mendarat pada 10 Rejab dan kekal dalam kapal selama sebulan dan turun ke bumi pada 10 Muharram di sebuah tempat terakhir, bukit atau gunung yang dikenali sebagai al-Judi.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh:  “Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang yang beriman”.

Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turun bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.  Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman):  “Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: ‘Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya.’  Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang, dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya:  “Wahai anakku naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.”  (Surah Hud, ayat 40-42).

Sesungguhnya kisah Nabi Nuh a.s adalah peringatan Allah SWT kepada manusia supaya beriman kepada-Nya.