Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kisah Gua Thur dan labah-labah dalam al-Quran

Sejarah 02 Feb 2021
Hanita Hassan
Kisah Gua Thur dan labah-labah dalam al-Quran
Kisah Gua Thur dan labah-labah dalam al-Quran (foto: Laluan di Gunung Thur menuju ke gua) © islamiclandmarks.com

Bukit Thur (Thawr) atau Bukit Thursina mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan Rasulullah SAW.  Ia adalah lokasi persembunyian Baginda bersama sahabat Saidina Abu Bakar as-Siddiq a.s bagi mengelak cubaan membunuh oleh golongan kafir Quraisy ketika peristiwa hijrah Rasulullah.

Kisah Gua Thur dan labah-labah dalam al-Quran

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.

“Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah At-Taubah, ayat 40)

Semasa berada di dalam Gua Thur, Allah SWT telah menggerakkan labah-labah untuk membuat sarang di hadapan pintu gua.  Ketika kafir Quraisy melihat sarang labah-labah di pintu Gua Thur, keadaan itu memberi gambaran kepada mereka bahawa tidak mungkin ada sesiapa yang pernah sampai di gua itu.

Sekiranya Baginda telah masuk ke dalam gua itu, sudah tentu sarang labah-labah itu telah hancur dan rosak. Kewujudan haiwan yang bernama labah-labah ini sebenarnya memberi petunjuk bahawa kebesaran Allah SWT melangkaui batas pemikiran manusia.

Bagaimana sang labah-labah, binatang kecil yang mampu menghasilkan sarangnya yang unik dalam waktu yang cukup singkat. Semuanya adalah kuasa Allah SWT yang mendatangkan bantuan untuk Rasulullah SAW dan sahabat Abu Bakar r.a.

Dalam tiap kesulitan, pelindung sebenar adalah Allah SWT

Kisah sarang labah-labah di Gua Thur ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam musnadnya. Daripada Ibn Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Mereka (Kaum Musyrikin) menjejaki kesan Nabi SAW. Apabila mereka tiba di sebuah bukit, mereka tercari-cari lalu mereka telah melalui sebuah gua dan mereka terlihat sarang labah-labah di pintu gua. Mereka berkata: Sekiranya dia (Nabi SAW) masuk ke gua melalui pintu ini pasti tiada sarang labah-labah di pintu ini. Maka mereka (kaum musyrikin) berada di gua tersebut selama 3 malam.”

(Hadis riwayat Ahmad, 3251)

Imam Ibn Kathir mendatang satu riwayat yang mursal (riwayat al-Tabi’in terus kepada Nabi SAW tanpa perantaraan sahabat) daripada al-Hasan al-Basri dan riwayatnya adalah hasan dengan keadaannya untuk dijadikan syahid (penyokong kepada riwayat Ibn Abbas r.a).

Kisah ini membuktikan bahawa dalam setiap keadaan dan kesulitan, pelindung yang sebenar-benarnya adalah Allah SWT.  Kita perlu perkuatkan tauhid dan akidah kerana tidak ada pelindung di dunia ini selain Allah.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang mengambil pelindung-pelindung selain Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah. Dan sesungguhnya rumah yang paling lemah adalah rumah labah-labah kalau mereka mengetahui.”

(Surah al-Ankabut, ayat  41)