Kisah haiwan dalam Al-Quran (II)

Kepercayaan Chan Abdullah 21-Jul-2020
Tapak arkeologi Madain Saleh (Kota dari Nabi Saleh a.s) yang pernah dihuni oleh Bangsa Tsamud di Arab Saudi © Brizardh | Dreamstime.com

Kisah-kisah dalam Al-Quran menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari isi kandungan Al-Quran yang menjadi rujukan utama umat manusia. Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT agar dapat membuka mata manusia dan menyedari identiti mereka dan hakikat keberadaan mereka di muka bumi ini.

Maka dengan mengambil pengajaran daripada artikel sebelum ini, berikut adalah beberapa lagi kisah haiwan yang terkandung di dalam Al-Quran.

Semut dan Nabi Sulaiman a.s

Satu hari, Nabi Sulaiman a.s sedang membawa tenteranya yang terdiri daripada jin, manusia dan burung untuk berjalan bersama. Hinggalah sampai ke satu kawasan lembah. Di situ Baginda terdengar percakapan seekor raja semut kepada kaum semut yang lain.

Pada ketika itu, raja semut memberikan amaran kepada kaumnya agar berlindung dari Nabi Sulaiman a.s dan juga bala tenteranya kerana bimbang akan dipijak oleh tentera Nabi Sulaiman. Baginda tersenyum dengan kebijaksanaan dan takjub atas keteraturan semut dan kaumnya itu.

Nabi Sulaiman a.s lantas mengucapkan syukur kepada Allah SWT yang telah melimpahkan pelbagai nikmat kepadanya, termasuk memahami ucapan-ucapan binatang. Baginda tidak merasa takbur dan sombong sebagai hamba Allah, malahan Baginda memohon agar Allah memasukkannya ke dalam golongan orang-orang yang soleh.

Unta betina Nabi Saleh a.s

Kaum  Nabi Saleh a.s sering mengejek dan mempertikaikan kerasulan Baginda. Kaum Nabi Saleh sering meminta Baginda  mempersembahkan mukjizatnya kepada mereka sebagai tanda kenabian Baginda. Nabi Saleh telah berdoa dan memohon kepada Allah SWT untuk mengurniakannya mukjizat sebagai bukti kepada kaumnya.

Dengan dengan izin Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Pencipta, keluarlah seekor unta betina dari satu belahan batu di kawan berbukit. Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 64:

“Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda (mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya, (kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa datangnya.”

Melihat keluarnya unta itu, sudah ada kaum Nabi Saleh a.s yang beriman dengan Allah SWT. Namun segelintir dari kaum Baginda masih lagi tidak mahu mengakui kenabian dan ajaran Baginda. Mereka telah merancang untuk membunuh unta Nabi Saleh kerana tidak mahu kaum mereka mengingati mukjizat Nabi Saleh dan menyembah Allah.

Akhirnya, unta tersebut dibunuh oleh kaum Nabi Saleh a.s yang ingkar. Baginda pun mengingatkan kaumnya agar menunggu azab daripada Allah SWT kerana telah melanggar perintah Allah dan Nabi-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Hud, ayat 65-67:

“Mereka kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan. Maka ketika datang azab kami, kami selamatkan Saleh beserta umatnya yang beriman, dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan hari itu.

Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Dan orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat tinggal masing-masing.”

Pelbagai pengajaran yang dapat diperolehi melalui kisah-kisah haiwan di dalam Al-Quran ini. Mari kita jadikan iktibar dan panduan dalam kehidupan kita seharian.