Kisah haiwan dalam Al-Quran

Kepercayaan Chan Abdullah 16-Jul-2020
Makam Nabi Sulaiman a.s di Masjid Al-Aqsa © Fatema7864 | Dreamstime.com

Terdapat banyak kisah-kisah haiwan yang diceritakan dalam kitab suci Al-Quran yang boleh kita jadikan pengajaran dan petunjuk. Kisah-kisah yang diceritakan sangat menarik. Semuanya penuh dengan pembawaan mesej yang bermanfaat.

Mari kita lihat kisah-kisah haiwan yang terkandung di dalam Al-Quran.

Anjing Ashabul Kahfi

Dikisahkan tujuh orang pemuda yang telah lari ke dalam gua dan ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun.  Bersama mereka adalah seekor anjing yang bernama Qitmir. Tujuh pemuda ini telah melarikan diri daripada seorang raja yang mahukan rakyatnya menyembah berhala serta patuh kepadanya.

Ketika tujuh pemuda ini tidur di dalam gua selama beratus ratus tahun lamanya, Qitmir inilah yang menjaga pintu mereka. Setelah tujuh pemuda disedarkan dari tidurnya oleh Allah SWT, mereka bertujuh telah diabadikan sebagai Ashabul Kahfi yang bermaksud sahabat-sahabat gua termasuk dengan anjing tersebut.

Anai-anai dengan tongkat Nabi Sulaiman a.s

Nabi Sulaiman a.s mempunyai mukjizat daripada Allah SWT di mana Baginda boleh bercakap dengan haiwan. Satu ketika, anai-anai telah terbang bersama sekumpulannya lalu sayapnya telah patah dan anai-anai tersebut telah masuk ke dalam istana Nabi Sulaiman. Ketika itu, anai-anai berasa sangat lapar dan meminta izin daripada Baginda untuk memakan tongkatnya yang diperbuat daripada kayu manis.

Berkali-kali anai-anai tersebut minta izin untuk makan tongkat Nabi Sulaiman a.s, namun tiada jawapan. Akhirnya akibat kelaparan yang teramat sangat, anai-anai makan tongkat Baginda Nabi. Anai-anai telah makan tongkat Nabi Sulaiman sehingga habis. Ketika itu Baginda telah jatuh rebah kerana tiada tempat bersandar. Ketika itu, anai-anai sedar bahawa Nabi Sulaiman telah wafat kerana bibirnya pucat dan tiada hembusan nafas daripada hidungnya.

Gajah Raja Abrahah dan burung Ababil

Gajah Abrahah diarahkan untuk membawa Abrahah yang merupakan gabenor Yaman. Beliau merupakan seorang yang sangat angkuh. Tentera Abrahah membawa gajah-gajahnya dengan tujuan untuk menghancurkan Kaabah. Abrahah sangat yakin dengan kekuatan tenteranya.

Tiba pada hari yang dirancang, Abrahah dan tenteranya telah menuju ke kaabah untuk merobohkannya, namun gajah yang dinaikinya enggan mara kehadapan. Abrahah tekad turun dn berjalan kaki menuju ke kaabah. Pada ketika itulah datangnya burung ababil membawa batu daripada neraka untuk dijatuhkan ke atas tentera Abrahah.

Ikan Nun di dalam kisah Nabi Yunus a.s

Nabi Yunus a.s telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan kebenaran kepada umatnya yang menyembah berhala. Sungguh malang apabila dakwah itu telah ditentang habis-habisan oleh umatnya yang ingkar.

Nabi Yunus a.s sangat kecewa dan telah meminta Allah SWT untuk menghukum mereka yang ingkar. Baginda telah meninggalkan kaumnya dan belayar menaiki kapal. Namun, cuaca yang buruk telah menyebabkan anak kapal bersepakat untuk menjatuhkan salah seorang daripada mereka  ke dalam laut bagi mengurangkan beban kapal. Sebelum itu pelbagai barangan berat telah dibuang ke dalam laut namun cuaca masih buruk dan laut dasyat bergelora. Nabi Yunus secara rela telah terjun ke laut lalu ditelan oleh ikan Nun.

Ketika di dalam perut ikan Nun, Nabi Yunus a.s telah berzikir kepada Allah SWT dan memohon keampunan di atas segala kelalaian Baginda. Setelah mendapat keampunan, ikan Nun tersebut berenang berhampiran pantai dan mengeluarkan Baginda sepertimana perintah Allah.

Begitulah beberapa kisah haiwan yang terkandung dalam Al-Quran. Beberapa lagi kisah haiwan dalam Al-Quran akan disambung di dalam bahagian berikutnya.