Kisah inspirasi Nusaybah binti Ka’ab r.a

Dunia Hanita Hassan 02-Okt-2020
nusaybah-bint-kaab-alchetron.com
Kisah inspirasi Nusaybah binti Ka’ab r.a © alchetron.com

Nusaybah r.a tau disebut sebagai Nasibah binti Ka’ab bin Amru bin Auf yang terkenal dengan panggilan Ummu Umarah adalah srikandi muslimah pertama.  Beliau ikut serta ke medan perang bukan hanya sebagai pengurus logistik atau jururawat untuk merawat tentera yang terluka, tetapi turut mengangkat senjata  melindungi Rasulullah SAW.

Perkahwinan pertamanya pada zaman jahiliah bersama Zaid bin Asim al-Mazini memperoleh dua cahaya mata iaitu Abdullah dan Hubaib.  Selepas Zaid meninggal dunia, beliau berkahwin untuk kali kedua dengan Ghaziah bin Amru al-Mazini, juga memperoleh dua cahaya mata bernama Tamim dan Khaulah.

Antara golongan Ansar terawal memeluk Islam

Selepas Perjanjian Aqabah Pertama, Rasulullah SAW telah mengutuskan Mus’ab bin Umair ke Madinah al-Munawwarah. Tujuannya adalah untuk mengajar penduduk di situ tentang Islam dan al-Quran. Nusaybah r.a tertarik dengan dakwah dan ajaran Islam lalu tanpa berlengah memeluk Islam. Beliau adalah antara golongan Ansar  terawal memeluk Islam. Keimanan Nusaybah mantap, keberanian dan keperkasaannya mengatasi kegagahan lelaki.

Selepas Mus’ab selesai berdakwah di Madinah dan mahu pulang ke Makkah, sebilangan umat Islam Ansar turut sama mengikutnya untuk menunaikan haji termasuklah  Nusaybah binti Ka’ab r.a.  Selepas menunaikan haji, Nusaybah dan orang Islam Ansar telah berbaiah (perakuan sumpah setia) dengan Rasulullah SAW. Baiah ini adalah untuk mempertahankan Islam dalam Perjanjian Aqabah Kedua yang berlaku pada bulan Zulkaedah.

Bulan Zulkaedah ialah bulan untuk berehat dan dipanggil bulan haram kerana diharamkan berperang.  Ia adalah satu daripada empat bulan yang mulia selain bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab.  Masyarakat Arab Jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini.

Setelah selesai, Rasulullah SAW berbaiah dengan kaum lelaki dengan berjabat tangan. Baginda menghampiri dua wanita yang turut serta dan berbaiah secara lisan tanpa berjabat tangan. Wanita tersebut ialah Nusaybah binti Ka’ab r.a dan Asma binti Amr r.a. (Rujuk kitab Nisa’ Ra’idat oleh Iffat wisal Hamzah).

Lalu Rasulullah SAW memberitahu bahawa baginda telah berbaiah dengan wanita yang hadir sebagaimana Baginda berbaiah dengan golongan lelaki dan Rasulullah SAW bersabda:  “Sesungguhnya aku tidak berjabat tangan (bersalaman) dengan wanita.”  (Rujuk kitab Nisa’ Hawla  oleh al-Rasul karangan Muhammad Musa Ramadhan)

Nusaybah r.a mempertahankan Rasulullah SAW

Semasa perang di Uhud,  Nusaybah r.a dengan penuh semangat berjuang bermati-matian menentang musuh yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai sasaran.   Ketika itu, tentera Islam kucar kacir dan hanya tinggal 10 orang sahaja berhampiran Rasulullah SAW.

Tatkala ramai yang bertempiaran lari, Nusaybah r.a dan keluarganya mempertahankan Rasulullah SAW dan Islam sebagaimana janji yang dimeterai pada Perjanjian Aqabah Kedua.  Anak Nusaybah iaitu Abdullah bin Zaid mendapat luka di lengan kiri namun terus juga berjuang.

Rasulullah SAW memanggil Abdullah dan menyatakan, “balutlah lukamu wahai Abdullah..”  Nusaybah r.a kemudian mendapatkan anaknya dan membalut lukanya sambil berkata, “Lekas segera bangun wahai anakku dan tentanglah musuhmu.”  Rasulullah SAW terpegun dengan tindakan Ummu Umarah lantas bersabda:  “Wahai anak Ummu Umarah, bantulah ibumu, balutlah lukanya.”

Nusaybah r.a berpaling ke arah Rasulullah SAW sambil berkata, “Berdoalah untuk kami agar dapat mengiringimu ke syurga.”  Lalu Rasulullah berdoa:  “Ya Allah, jadikanlah mereka temanku di Syurga.” Nusaybah r.a berasa gembira dengan doa Rasulullah SAW dan menyatakan, “Demi Allah, aku tidak peduli apa sahaja yang akan menimpaku di atas dunia ini.”

Begitulah kisah Nusaybah r.a.  Selepas peperangan Uhud, beliau menyertai Rasulullah SAW  di Hudaibiah, Khaibar, Umrah Qadha, Peperangan Hunayn dan Bai’ah al-Ridwan.