Kisah keluarga Nabi Ibrahim a.s dan perintah Allah SWT

Kepercayaan Hagnas 11-Sep-2020
dreamstime_s_137854394
Makan Nabi Ibrahim a.s dalam Masjid Ibrahim, Al-Khalil (Hebron), Palestin © Vadim Lerner | Dreamstime.com

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s sering diulang-ulangkan kepada kita. Sebenarnya kisah Nabi Ibrahim ini sangat besar pengajaran dan ibrahnya kepada kita dan keluarga. Ini kisah contoh sebuah keluarga yang benar-benar beriman kepada Allah SWT yang wajar kita semua ambil pengajaran.

Ia bukan suatu mitos, tetapi realiti yang penting dan praktikal yang saban tahun kita dituntut mengingatinya. Ini bukan hanya kisah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s, tetapi juga sebenarnya kisah  Siti Hajar r.a dan Sarah r.a yang sangat indah pengajarannya buat kita membentuk diri dan keluarga yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, dan meletakkan arahan Allah dan perjuangan di jalan-Nya melebihi dari semua yang lain termasuk kasih sayang kepada ahli keluarga sendiri.

Pengorbanan di jalan Allah SWT inilah yang ditunjukkan Hajar r.a apabila ditinggalkan Nabi Ibrahim a.s bersama anaknya yang masih kecil itu, Nabi Ismail a.s, saat diberitahu bahawa Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelihnya. Kata Hajar kepada Nabi Ibrahim bila diberitahu bahawa ini arahan Allah, maka, ‘Allah tidak akan membiarkan atau mensia-siakan kami (beliau dan Nabi Ismail).’

Begitu juga Sarah r.a, yang jarang kita dengar kisahnya, tetapi wajar kita pelajari pengorbanan perasaannya bermadu dengan Hajar r.a. Kesabaran, tawakal dan tidak putus asa untuk hidup bersama Nabi Ibrahim a.s yang kita ketahui penuh dengan ranjau dalam perjuangannya di jalan Allah SWT.

Semoga Allah SWT ampunkan dosa kita, terus diberikan kepada kita hidayah dan taufik-Nya agar kita dapat memperbaiki kesilapan kita dan mencontohi perjuangan keluarga Nabi Ibrahim a.s.

Kita tentunya inginkan keluarga bahagia dunia akhirat. Banyak kaedah yang kita belajar dan cuba. Tetapi kita harus sedar bahawa Allah SWT akan menguji kita dan keluarga. Tidak kesemua perancangan dan kaedah membahagiakan keluarga kita akan menjadi. Kerana Allah ada ujian untuk kita.

Antara yang Allah SWT inginkan daripada ujian-Nya kepada kita ialah supaya kita selalu merintih dan kembali hanya kepada-Nya. Memohon dan berdoa hanya kepada-Nya. Kita perlu mengakui segala sifat-sifat-Nya yang mulia, keagungan dan kebesaran-Nya. Kita tiada apa-apa melainkan semuanya diberikan oleh Allah kepada kita.

Teruslah berdoa, beristighfar dan membaca al-Quran. Inilah bentuk-bentuk zikir yang sangat kita semua perlukan sebagai tanda kehambaan kita kepada-Nya. Sungguh di Akhirat itu jauh lebih baik nikmat dan balasan Allah SWT berbanding di dunia. Marilah kita bersyukur atas segala pemberian-Nya dan terus beramal untuk kebaikan dunia dan Akhirat.