Kisah kemerdekaan dalam Islam

Kehidupan Zalika Adam 30-Ogo-2020
ID 148869344 © Amanda Lewis | Dreamstime.com
Kisah kemerdekaan dalam Islam © Amanda Lewis | Dreamstime.com

Kemerdekaan boleh diertikan sebagai bebas dari sebarang cengkaman dan penaklukan. Ia banyak mengajar kita erti kehidupan. Walaupun majoriti generasi yang ada sekarang merupakan generasi pasca merdeka, namun masyarakat negara ini masih tetap berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara dan perlembagaan yang sama.

Perpaduan kaum dan masyarakat majmuk

Perbezaan agama, etnik, bahasa dan budaya bukan penghalang kepada keharmonian dan kesejahteraan negara. Perpaduan kaum adalah faktor penting yang menentukan kestabilan politik, sosial dan ekonomi. Elemen utama ini seharusnya digenggam erat bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan negara.

Konsep masyarakat majmuk yang diperlihatkan kepada kita hari ini sebenarnya mengiyakan dan memperakui kepelbagaian nilai, norma, budaya serta adat resam keseluruhan bangsa di Malaysia.

Terdapat beberapa kisah kemerdekaan yang dilakarkan dalam Islam, antaranya, seperti berikut:

Kisah Ashabul Kahfi

Kisah ini mengambarkan kemerdekaan bermaksud bebas daripada keruntuhan akhlak dan kemurkaan Allah SWT. Maka, Islam datang menyelamatkan tamadun manusia daripada sistem perhambaan, sama ada perhambaan sesama manusia ataupun perhambaan terhadap hawa nafsu yang diselaputi oleh syirik, kekufuran, kemungkaran dan kemaksiatan.

Kisah tujuh pemuda yang menyelamatkan diri mereka dari raja yang zalim dan tetap berpegang teguh dengan aqidah yang benar menjauhkan diri dari kekufuran itulah kemerdekaan iaitu memerdekakan diri dari kesesatan kepada cahaya keimanan.

Kemerdekaan menurut Islam

Kemerdekaan bermakna al-Salam (kesejahteraan, kedamaian dan keamanan). Keadaan ini digambarkan dengan kehebatan Zulqarnain memerintah negara dengan penuh bijaksana membawa rahmat kepada rakyatnya.

Kisah yang menceritakan tentang raja mulia yang menguasai ilmu dan kekuatan. Baginda mengelilingi dunia ini dan menebarkan kebaikan di muka bumi. Ia mampu membendung kejahatan Ya’juj dan Ma’juj dengan mendirikan tembok kukuh.

Kisah ini adalah berkaitan ujian kekuasaan. Sehingga kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya berbuat aniaya dan berbuat kerusakan di muka bumi. Ini adalah satu anugerah Allah SWT untuk  menolong manusia yang  lemah sehingga wujudlah kesejahteraan, keselamatan, kedamaian dan keamanan.

Kisah pemilik kebun

Ia lupa dengan pemberi nikmat. Sehingga melampaui batas. Ia tidak bersyukur lalu Allah SWT menghancurkan segala nikmat tersebut sekelip mata, sehingga dia berada dalam penyesalan. Kisah ini menerangkan tentang bahaya fitnah dunia berupa harta dan anak.

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.”

(Surah al-Kahfi: 7)

Kemerdekaan sebenar ialah kita mampu menyelamatkan diri dari penyakit ‘Wahan’. Seorang sahabat bertanya:

“Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan penyakit al wahan itu? Rasulullah menjawab: Al-Wahan adalah penyakit cinta dunia dan takut mati.”

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Oleh itu, selagi mana kita berada dalam kebebasan, kita masih dianggap merdeka. Namun, kemerdekaan itu perlu seiring dengan landasan Islam yang syumul, iaitu sentiasa menjadikan al-Quran dan Sunah sebagai pegangan hidup.