Kisah menarik Masjid Tokyo, Jepun

Dunia Hanita Hassan 22-Sep-2020
dreamstime_s_184985044
Bahagian dalam Masjid Tokyo, Jepun © Manuelascanio | Dreamstime.com

Apabila kita bercakap mengenai Islam, Jepun bukannya satu daripada negara yang akan menjelma di minda.  Sebagai sebuah negara yang paling menonjol di dunia, negara Timur Jauh Asia ini tidak termasuk dalam senarai dengan populasi Muslim yang ramai. Walau bagaimanapun, terdapat umat Islam di negara ini dengan 80 buah masjid yang memukau bertebaran di seluruh negara.  Dalam banyak masjid itu, hanya satu yang benar-benar menonjol dan ia tidak lain adalah Masjid Tokyo.

Digelar sebagai Tokyo Camii (disebut sebagai Jamii), masjid yang terletak di Daerah Oyamacho di Shibuya Ward,Tokyo ini adalah masjid terbesar di Jepun.  Pembangunan masjid ini berlaku pada 12 Mei 1938, dibina bersekali dengan sebuah sekolah oleh pendatang Muslim dari Kesatuan Soviet.  Mereka  berhijrah ke Jepun setelah berlakunya peristiwa Revolusi Oktober.  Imam pertamanya ialah Abdurreshid Ibrahim, individu yang terlibat secara langsung menyelia pembinaan masjid tersebut.

Pada pertengahan tahun 1980-an, bahagian struktur masjid ini mengalami  kerosakan yang teruk dan terpaksa dirobohkan.  Selepas dirobohkan, terdapat cadangan untuk pembinaan bangunan baharu dan ia di bawah kelolaan Direktorat Hal Ehwal Agama di Turki.

Arkitek bertanggungjawab untuk pembinaan bangunan baharu ini tidak lain ialah Muharrem Hilmi Senalp.  Reka bentuk masjid adalah berasaskan kepada seni bina Islam yang dominan pada zaman Empayar Uthmaniah.  Ia adalah sebuah seni bina yang gah dan dihiasi dengan rekaan serta corak menarik lagi terperinci.

Projek pembinaan yang besar ini memerlukan sejumlah 70 pekerja mahir dari Turki bagi memberi sentuhan dan melengkapkan struktur ini.  Sejumlah besar marmar juga didatangkan khas dari Turki untuk masjid ini.  Akhirnya pada tahun 2000, pembinaan masjid ini selesai dan menelan belanja sangat tinggi. Pengiraan akhir projek menunjukkan kos sekitar 1.5 bilion Yen. Pada 30 Jun 2000 masjid ini dibuka dalam satu upacara perasmian.

Dari segi kawasan, Masjid Tokyo meliputi  seluas 734 meter persegi dan  dilengkapi dengan satu tingkat di ruang bawah tanah dan di bahagian atas, keseluruhan bangunan tiga tingkat ini mencapai sehingga 1,477 meter persegi.  Sepertimana masjid utama yang lain, Masjid Tokyo memiliki kubah sepusat dengan ketinggian 23.25 meter dan disokong dengan enam batang tiang.  Ia turut dilengkapi sebuah menara bersebelahan struktur utama dengan ketinggian 41.48 meter.

Reka bentuk masjid ini telah menjadikan ia salah sebuah masjid yang paling cantik di seluruh Asia.  Masjid ini juga berfungsi sebagai Pusat Kebudayaan Turki dan mendapat namanya daripada perkataan Arab iaitu  ‘jami’ yang bermaksud masjid jemaah.  Perkataan dan maksud yang sama juga terdapat dalam bahasa Turki iaitu ‘Camii’.  Bahagian pusat kebudayaan Masjid Tokyo terletak di tingkat pertama masjid ini.

Semoga Allah SWT merahmati usaha kita semua.  Aamin.