Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kisah menarik mengenai Perang Padri di Minangkabau, Indonesia

Asia 23 Feb 2021
Pilihan oleh Md Wa'iz
Lukisan Monumen Perang Padri di Sumatera Barat (1831-1834)
Lukisan Monumen Perang Padri di Sumatera Barat (1831-1834) © Boelhouwer, J.C - Pranala

Pernahkah anda mendengar mengenai Perang Padri? Agak pelik bunyinya, bukan? Ia adalah perang saudara yang berlaku di Minangkabau, Indonesia satu ketika dahulu.

Ini sejarah ringkas mengenai Perang Padri.

Tercetusnya Perang Padri

Perang Padri tercetus pada tahun 1803 dan berakhir sekitar tahun 1838. Ia adalah perang saudara yang berlaku di kawasan Sumatera Barat yang berada di bawah kekuasaan Kerajaan Pagaruyung.

Ia berlaku antara dua kelompok masyarakat iaitu kumpulan agamawan yang berpegang kepada ajaran Islam, dan juga kumpulan adat. Kumpulan agamawan ini dikenali sebagai Padri.

Punca tercetusnya perang saudara di Minangkabau 

Pada awalnya, punca peperangan ini bukanlah mengenai perbalahan yang besar seperti perebutan kuasa atau pergaduhan antara etnik.

Pada tahun 1803, terdapat tiga orang Minangkabau yang baru sahaja pulang dari menunaikan haji di Mekah. Tiga individu tersebut dikenali sebagai Haji Sumanik, Haji Miskin dan Haji Piobang.

Setelah mereka pulang ke Minangkabau, mereka ingin melakukan pembaharuan dengan menerapkan nilai-nilai ajaran Islam yang sebenar dalam masyarakat Minangkabau. Niat ketiga-tiga individu ini turut disokong oleh seorang ulama tempatan, Tuanku Nan Racheh.

Mereka telah meminta Sultan Pagaruyung pada ketika itu, Sultan Arifin Muningsyah untuk meninggalkan adat yang bertentangan dengan Islam. Namun Sultan Arifin tidak begitu bersetuju kerana baginda masih selesa dengan adat yang menjadi kebiasaan masyarakat Minangkabau pada ketika itu.

Antara adat orang Minangkabau yang masih diamalkan pada ketika itu termasuklah berjudi, menyabung ayam dan meminum minuman keras, walaupun hampir kesemua penduduknya Muslim. Dengan erti kata lain, ajaran agama Islam tidak dipraktikkan dengan baik walaupun majoriti masyarakat adalah beragama Islam.

Campur tangan Belanda dalam Perang Padri

Seorang ulama bernama Tuanku Pasaman telah memimpin serangan ke atas Kerajaan Pagaruyung sehingga menyebabkan Sultan Arifin melarikan diri. Akibat serangan golongan Padri, golongan Adat telah meminta pertolongan pihak Belanda bagi membantu melawan golongan Padri ini.

Sewaktu peperangan ini berlangsung, Sultan Arifin telah mangkat dan peperangan in seolah-olah hanya antara pihak Belanda dan orang-orang Minangkabau sahaja. Salah seorang tokoh golongan Padri iaitu Tuanku Imam Bonjol (Muhammad Syahab) telah menyeru kaum Adat untuk bersatu dan bersama-sama menentang Belanda.

Pihak Padri dan Adat kemudiannya telah bersetuju mencapai kata sepakat untuk melawan penjajahan Belanda ke atas Minangkabau. Antara tokoh terpenting golongan Padri yang sama-sama berjuang menentang Belanda dalam Perang Padri adalah Tuanku Rao (bergelar Pongkinangolngolan Sinambela) dan Tuanku Tambusai.

Hasil daripada persepakatan inilah yang memunculkan frasa ‘Adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah’.

Belanda memenangi peperangan

Taktik licik pihak Belanda telah berjaya menangkap Tuanku Imam Bonjol, dan beliau dibuang daerah ke Cianjur, Ambon dan Minahasa. Tuanku Imam Bonjol telah menghabiskan sisa hidupnya dalam buangan dan meninggal dunia di Minahasa.

Pihak Belanda pula telah berjaya menembusi pertahanan terakhir rakyat Minangkabau pada tahun 1838. Tuanku Tambusai  (Sheikh Haji Muhammad Saleh) yang memimpin pasukan pertahanan terakhir ini kemudiannya terpaksa mengundurkan diri bersama keluarga dan pengikutnya daripada buruan Belanda.

Tuanku Tambusai akhirnya menyeberangi Selat Melaka dan menetap di Negeri Sembilan, Malaysia. Akhirnya, pihak Belanda berjaya memenangi Perang Padri ini.