Kisah Nabi Sulaiman a.s: burung Hud-hud dan Puteri Balqis

Agama Hanita Hassan 19-Nov-2020
dreamstime_s_64518200
Kisah Nabi Sulaiman a.s: burung Hud-hud dan Puteri Balqis © - Dreamstime.com

Nabi Sulaiman a.s, adalah anak kepada Nabi Daud a.s.  Baginda  mewarisi takhta dan kenabian daripada bapanya.  Memiliki mukjizat dan ilmu pengetahuan dengan izin Allah SWT yang tidak tertanding oleh raja-raja lain.

Pada zaman Nabi Sulaiman a.s, terdapat empat orang raja yang menguasai dunia. Dua daripadanya adalah raja Islam iaitu Nabi Sulaiman dan Iskandar Zulqarnain. Manakala dua orang raja lagi bukan Islam.  Mereka ialah Bakht Nasr dan Namrud. Di antara keempat-empat raja ini, Nabi Sulaiman adalah raja yang paling berkuasa.

Burung Hud-hud dan Puteri Balqis

Nabi Sulaiman a.s mampu mengawal pergerakan angin dan menundukkannya. Baginda berupaya mencairkan tembaga dari perut bumi dan mengeras semula dalam bentuk yang dikehendakinya. Juga mengawal golongan jin dan menghukum jin yang ingkar, memahami bahasa burung dan haiwan-haiwan lain.  Bala tentera Baginda terdiri dalam kalangan manusia, jin dan burung.

Suatu ketika semasa Nabi Sulaiman a.s bersama bala tenteranya berarak untuk berperang dan melalui satu lembah yang dipenuhi semut. Baginda terdengar kata-kata seekor semut yang memberi amaran kepada kumpulan semut yang lain. Mereka diseru supaya bersembunyi sebelum dipijak dan Baginda terhibur mendengar suara semut itu.

Dalam kisah lain, ketika Nabi Sulaiman a.s memeriksa bala tenteranya, didapati tidak cukup seekor burung, iaitu burung Hud-hud.  Nabi Sulaiman marah dan berkata: “Di manakah hud-hud? Aku akan menghukumnya.”

Tidak lama kemudian burung Hud-hud tersebut sampai dan berkata: “Wahai Sulaiman, aku mengetahui sesuatu yang engkau tidak tahu.”  Nabi Sulaiman a.s berkata:  “Siapa yang berani berkata dia lebih mengetahui akan sesuatu daripada rajanya?”

Burung Hud-hud pun bercerita bahawa dia terbang melintasi negeri Saba, yang pemimpin mereka adalah perempuan. Sayangnya mereka bersujud kepada matahari sedangkan yang selayaknya disembah adalah Allah SWT. Nabi Sulaiman a.s kemudian mengutus surat kepada Puteri Balqis, pemerintah negeri Saba. Akhirnya Puteri Balqis bersetuju bertemu Baginda di istananya.

Tidak pernah sombong, sentiasa bersyukur

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Kami (tundukkan angin bagi Sulaiman, yang perjalanannya di waktu pagi sama dengan perjalanan sebulan dan perjalanannya di waktu petang sama dengan perjalanannya sebulan (pula) dan Kami alirkan cairan tembaga baginya. Dan sebahagian dari jin ada yang bekerja di hadapannya (di bawah kekuasaannya) dengan izin Tuhannya, dan siapa yang menyimpang di antara mereka dari perintah Kami, Kami rasakan kepadanya azab neraka yang apinya menyala-nyala.”

(Surah Saba, ayat 12)

Kekayaan Nabi Sulaiman a.s melimpah ruah.  Bahkan dalam satu riwayat, dikisahkan bahawa istana Baginda sangat luas dan dihiasi batu permata.  Banyak istananya yang hebat telah dibina oleh jin. Salah satunya adalah istana kaca yang dibina di atas sungai yang mengalir.

Apabila Puteri Balqis berada di atas istana kaca itu, dia seolah-olah sedang melihat air mengalir di bawahnya. Oleh kerana bimbang kainnya basah, maka Puteri Balqis meninggikan kainnya.  Selepas itu baharulah dia sedar bahawa dia sedang memijak lantai kaca.

Kagum dengan kekuasaan Allah SWT, lantas Puteri Balqis berkata:  “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menindas diriku sendiri dengan menyembah selain daripada-Mu.”  Sejak itu Puteri Balqis terus beriman dengan Allah dan tidak lama selepas itu berkahwin dengan Nabi Sulaiman a.s.

Meskipun memiliki semua mukjizat dan kekayaan, Nabi Sulaiman a.s tidak pernah sombong malahan sentiasa bersyukur. Semoga kita menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dan menghargai setiap makhluk ciptaan Allah SWT di dunia ini.