Kisah Nabi Yunus Dan Kelebihan Zikir Nabi Yunus

Sahsiah Nor Syariza Tahir 08-Jul-2019

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

“Laa ila ha illa anta, subhaanaka innii, kuntu minazzolimin”

Ertinya: Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguhnya, aku termasuk dalam orang-orang yang zalim.

Pernahkah anda mendengar atau membaca zikir ini?

Ia dikenali sebagai zikir Nabi Yunus, dan merupakan zikir yang dibaca oleh Nabi Yunus A.S. ketika Baginda berada dalam perut ikan nun. Ia juga dikenali sebagai Doa Nabi Yunus.

Disebabkan zikir ini juga, Allah S.W.T. telah menyelamatkannya, yang akhirnya membolehkannya keluar dari perut ikan yang menelannya itu.

Zikir ini mengandungi kelebihan yang amat baik jika kita mengamalkannya, iaitu manfaat dikeluarkan kita daripada kesusahan atau bencana.

Namun, sebelum kita bercakap mengenai kelebihan zikir ini, apa kata kita mengimbau serba sedikit mengenai kisah Nabi Yunus A.S. yang ditelan ikan nun kerana ia mempunyai banyak pengajaran yang boleh kita ambil.

Kisah Nabi Yunus ditelan ikan nun

Diceritakan seperti dalam al-Quran mengenai kisah ini, di mana Nabi Yunus diutuskan oleh Allah S.W.T. untuk berdakwah kepada kaumnya. Kaum Baginda sangat ingkar dan enggan beriman kepada Allah, sehingga membuatkan Nabi Yunus berasa amat marah kepada mereka dan membuat keputusan untuk meninggalkan kaumnya.

Di sini, pengajaran pertama yang kita dapat ambil adalah Allah telah memerintahkan Nabi Yunus untuk berdakwah kepada kaumnya, dan tidak menurunkan perintah untuk Baginda meninggalkan mereka. Namun, disebabkan perasaan marah, Nabi Yunus meninggalkan kaumnya tanpa disuruh Allah.

“Dan (ingatlah kisah) Zun Nun (Yunus), ketika ia pergi dalam keadaan marah, lalu ia menyangka bahawa Kami tidak akan mempersempitnya (menyulitkannya) maka ia menyeru dalam keadaan yang sangat gelap: ‘ Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguh aku termasuk dalam orang-orang yang zalim.” (Surah al-Anbiya’ ayat 87).

Baginda seterusnya menumpang di atas sebuah kapal yang berlayar. Pada suatu ketika, di saat kapal hampir karam akibat laut bergelora, anak-anak kapal terpaksa mengambil keputusan untuk membuang banyak peralatan kapal termasuk penumpang untuk mengelakkan kapal karam.

Atas hikmah Allah untuk memberi pengajaran, ketika sesi cabutan undi untuk menentukan siapa yang perlu terjun dari kapal tersebut, nama Nabi Yunus A.S. yang muncul sebagai orang yang perlu terjun dari kapal.

Maka, Baginda pun terjun dari kapal hingga akhirnya ditakdirkan pula oleh Allah S.W.T. Baginda ditelan oleh seekor ikan nun yang besar.

Ketika tersedar, Baginda sudah pun berada dalam perut ikan, dan ikan tersebut membawanya jauh ke dasar lautan membelah kegelapan malam.

Maka, ketika itu Nabi Yunus berasa amat takut kerana berada dalam kegelapan di dalam perut ikan sehingga Baginda mula menangis.

Setelah itu, Baginda mula bertasbih dan berzikir kepada Allah S.W.T. dengan bersungguh-sungguh dan tidak berhenti sehinggakan tidak makan, tidak minum dan tidak bergerak. Baginda hanya berpuasa, dan hanya berbuka puasa dengan bertasbih.

Ketika inilah Nabi Yunus A.S. membaca zikir di atas, dan beliau benar-benar bertaubat kepada Allah S.W.T. serta menangis tanpa henti.

Melihatkan kesungguhan dan ketulusan hati Nabi Yunus A.S, Allah S.W.T. menerima taubat Baginda dan memerintahkan ikan nun tersebut untuk mengeluarkan Baginda daripada perutnya pada ketika Baginda mulai sakit-sakit berada dalam perut ikan itu.

Akhirnya, ikan nun tersebut berenang ke sebuah pulau, dan ia lantas memuntahkan isi perutnya sehingga keluarlah Nabi Yunus dari perutnya.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul. (Ingatlah) ketika ia lari ke kapal yang penuh muatan, kemudian ia ikut undi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya ia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit. Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang ia dalam keadaan sakit. Dan kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon dari jenis labu. Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerena itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.” (Surah as-Saffat ayat 139-148).

Justeru, daripada kisah Nabi Yunus ini, banyak pengajaran yang dapat kita ambil. Sedangkan nabi pun diuji sebegitu, apatah lagi kita yang hanya manusia biasa. Apabila kita diuji, hanya satu tempat sahaja yang boleh kita mengadu dan meminta tolong, iaitu Allah S.W.T. kerana Dia yang Maha Berkuasa untuk memberi jalan keluar kepada kita.

Dan jika kita benar-benar bertaubat dan memohon keampunannya, Dia Maha Pengampun dan akan mengampuni dosa-dosa kita.

Manfaat membaca zikir Nabi Yunus

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “Barangsiapa mempunyai apa-apa hajat, hendaklah ia berwuduk, kemudian sujud kepada Allah, sambil membaca tasbih Nabi Yunus sebanyak 40 kali dengan cara jari telunjuknya menghadap ke arah kiblat ketika ia sujud. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian akan diperkenankan doa dan permintaannya.”

Sabda Baginda lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya aku ketahui satu kalimah yang apabila dibaca oleh mereka-mereka yang ditimpa bala atau kesusahan, Allah akan lepaskan si pembacanya dari kesusahan. Kalimah tersebut ialah tasbih saudaraku Nabi Yunus A.S.”

“Laa ila ha illa anta, subhaanaka innii, kuntu minazzolimin”

Ertinya: Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sungguhnya, aku termasuk dalam orang-orang yang zalim.

Justeru, amalkanlah zikir ini jika anda ditimpa masalah atau bencana, dan jadikanlah amalan agar diri sentiasa terpelihara daripada bencana.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada para pembaca SalamToday.

 

Foto: Shopify Partners, Rawpixel.com, Pixabay & Blaque X (Pexels), Mukesh Mishra (Burst)