Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kisah pengembala kambing di zaman Saidina Umar al-Khattab r.a

Sejarah 15 Dis 2020
Hanita Hassan
Kisah pengembala kambing di zaman Saidina Umar al-Khattab r.a
Kisah pengembala kambing di zaman Saidina Umar al-Khattab r.a © Dan Peretz | Dreamstime.com

Apa jua pekerjaan yang kita ceburi dalam hidup, lakukan dengan jujur dan amanah.  Tidak kira sama ada kita seorang pemimpin sebuah negara, peguam, doktor, jururawat, guru, pelombong, peniaga, petani, nelayan, pekerja kilang, penghantar surat, pemandu teksi atau tukang cuci.

Rezeki yang diperoleh dengan cara baik bukan sahaja memperoleh pahala dan manfaat.  Sebaliknya jika diperoleh dengan cara yang kotor, ia mendekatkan kita dengan api neraka. Bahkan kita akan dihina serta dikeji oleh seluruh makhluk di dunia ini.

Kisah pengembala kambing

Kisah pengembala kambing di zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab boleh dijadikan pengajaran. Sifat jujur dan amanah yang diamalkan telah memerdekakan dia sebagai seorang hamba sahaya.

Malahan, dihadiahkan pula dengan semua kambing milik majikan yang telah dibeli oleh Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a, seorang pemimpin dan khalifah yang berwibawa.  Pemimpin disegani kerana sikap yang tegas, tidak gentar menghadapi musuh serta sangat berwibawa.

Pemuda pengembala kambing ini seorang yatim piatu, hidup sebatang kara dan hamba sahaya pula.  Kerjanya setiap hari ialah mendaki bukit bukau dan merentasi padang rumput menghalau kambing-kambing milik tuannya.  Dia menjaga kambing majikannya dengan baik serta amanah seolah-olah kambing-kambing itu miliknya sendiri.

Suatu ketika, Saidina Umar Al-Khattab r.a yang ditemani Abdullah bin Dinar dalam perjalanan dari Madinah ke Makkah telah bertemu pengembala kambing itu.  Lalu beliau cuba menguji sejauh mana kejujuranya.

Saidina Umar r.a mendekatinya dan berkata: “Sungguh banyak kambing yang kamu pelihara dan gemuk-gemuk semuanya. Juallah kepadaku. Saya mahu seekor yang gemuk dan bagus.”

Mendengar kata-kata Umar r.a, pengembala tersebut menjawab: “Kambing-kambing ini bukan milik saya, tetapi milik majikan saya. Saya hanya seorang hamba dan pengembala yang mengambil upah sahaja.”

Lalu Saidina Umar r.a berkata lagi: “Katakan sahaja nanti pada tuanmu, kambing itu dimakan serigala.”  Pengembala tersebut diam sejenak, ditatapnya wajah Amirul Mukminin.

Kejayaan dicapai dengan amalan sifat benar dan jujur

Lalu keluar daripada bibirnya perkataan yang menggetarkan hati Saidina Umar r.a: “Fa ainallah…fa ainallah (jika begitu, di manakah Allah). Bukankah Allah Maha Melihat. Apakah tuan tidak yakin seksa Allah kepada mereka yang pendusta?”

Menangis Saidina Umar r.a mendengar perkataan anak itu lalu mendakapnya. Kemudian beliau membeli anak gembala itu dan kambing-kambingnya dari majikannya. Dia memerdekakan anak gembala itu dan menghadiahkan seluruh kambing itu sebagai balasan atas sifat amanah dan keimanannya.

Begitulah kisah yang boleh dijadikan tauladan dalam kita melayari kehidupan ini.  Kejayaan hanya akan dapat dicapai sekiranya kita mengamalkan sifat benar dan jujur.  Ia bukan sahaja kejayaan di dunia malah membawa ke akhirat.

Kita akan tergolong dalam kalangan mereka yang dekat dengan para Nabi di Syurga.  Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Peniaga yang benar dan amanah bersama dengan para Nabi, Siddiqin dan golongan mati syahid.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Nabi Muhammad SAW yang kita sayangi pernah menjadi pengembala kambing seawal usia remaja. Kepayahan hidup tidak pernah mematahkan semangat Baginda yang yatim piatu menyara hidup tanpa mengharap ehsan bapa saudara mahupun datuknya.

Mengembala kambing atau haiwan ternakan adalah pekerjaan yang baik.  Ia bukan sahaja dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW tetapi juga pernah dilakukan oleh kebanyakan Nabi dan Rasul terdahulu. Semoga bermanfaat.