Kisah pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim a.s

Agama Hanita Hassan 24-Jul-2020
Makan Nabi Ibrahim a.s dalam Masjid Ibrahim, Al-Khalil (Hebron), Palestin © Catay Cagatay - Dreamstime.com

‘Labaik Allah humma labbaik.  Labbaik laa syarika laka labbaik.  Innal hamda, wan ni’mata, laka wal mulk, laa syarika lak.’

Musim Haji sering mengingatkan kita akan kisah perjalanan hidup keluarga Nabi Ibrahim a.s. Baginda sekeluarga adalah hamba-hamba terpilih yang bukan sahaja taat dan patuh perintah Allah SWT, tetapi juga seorang ayah yang taat kepada Allah, seorang isteri yang taat pada suami dan seorang anak yang taat kepada kedua orang tuanya.

Kisah teladan Nabi Ibrahim a.s, Siti Hajar a.s dan Nabi Ismail a.s yang diuji dengan pelbagai ujian menjadi titik tolak kepada ibadah Haji dan korban oleh umat Islam di seluruh dunia.

Sejarah korban bukan baharu.  Ia telah berlaku sejak zaman Nabi Adam a.s. iaitu manusia pertama yang dicipta Allah SWT. Peristiwa korban telah dilakukan oleh dua orang anak Baginda iaitu Qabil dan Habil.  Walau bagaimanapun hanya korban daripada Habil yang diterima dan tidak korban daripada Qabil.

Ini menunjukkan bahawa bukan semua korban diterima Allah SWT.  Kecuali korban yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan daripada orang yang bertakwa.

Nabi Ibrahim a.s telah melalui jalan penuh berliku, diuji oleh Allah SWT  dengan bapanya yang mencipta berhala. Kemudian Baginda dihumban ke dalam api kerana enggan menerima Tuhan sembahan Namrud. Allah telah menyelamatkan Nabi Ibrahim dan baginda tidak terbakar biarpun dicampak ke dalam api yang marak.

Setelah bertahun-tahun menunggu untuk mendapatkan zuriat keturunan, Nabi Ibrahim a.s diperintahkan pula meninggalkan isteri dan anaknya Nabi Ismail a.s yang masih bayi di padang pasir kontang (lembah bernama Makkah). Sekali lagi pertolongan Allah SWT hadir dengan terbitnya air zamzam dari bawah hentakan kaki Nabi Ismail a.s

Apabila Nabi Ismail a.s meningkat dewasa, sekali lagi Nabi Ibrahim a.s diuji bersama isterinya Siti Hajar a.s dan diperintahkan menyembelih Ismail a.s. Berkat ketaatan kedua-duanya, Allah SWT telah membalas dengan tebusan berupa seekor binatang sembelihan.

Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan seluruh keluarga baginda adalah menjadi contoh keteguhan iman serta dari peristiwa ini Islam mensyariatkan umatnya melakukan ibadah korban.

Kisah ini perlu dijadikan kekuatan dan inspirasi untuk kita terus istiqamah melakukan segala syariat Islam. Sesungguhnya setiap syariat, hukuman atau perintah yang ditetapkan Allah SWT sudah pasti mempunyai matlamat tertentu walaupun ia kelihatan berat dan sukar dilaksanakan.

Ibadah korban adalah cara dan kaedah terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.  Ia juga adalah salah satu ukuran takwa kita kepada Yang Maha Esa.  Ibadah korban yang kita lakukan kelak menjadi saksi ketaatan yang kita laksanakan atas perintah-Nya.

Melakukan korban bukan bererti kita mematikan jiwa, kerana jiwa tidak kan mati.  Sebaliknya ia adalah perubahan jiwa ke alam rohaniah sehingga jiwa bebas daripada ikatan jasad.

Sepertimana firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “Daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.”  (Surah al-Hajj, ayat 37)

Semoga kita dapat menterjemah erti korban yang sebenar. Korban harta dan wang, tenaga mahupun fikiran demi kemaslahatan umat dan mentaati perintah Allah SWT.