Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Kisah Penuh Teladan Dalam ‘Zharfa’

Seni Shah Shamshiri 12-Nov-2019

Dalam kebanjiran filem-filem berunsur seram di pawagam tempatan masa kini, pihak Madness Films berani tampil dengan persembahan yang agak berbeza genrenya buat peminat tayangan gambar tempatan.

Mengetengahkan filem ringan dengan unsur teladan dan pengajaran berjudul Zharfa, karya ini juga istimewa kerana ia adalah hasil kerjasama penerbitan dua negara iaitu Mr. Rius Production dari Indonesia dan Madness Films Malaysia.

Dibintangi Kaka Azraff sebagai pelakon utama di samping bintang-bintang Indonesia terkenal seperti Donny Alamsyah, Shelomita dan juga Betari Ayu, filem ini mengisahkan seorang gadis Malaysia bernama Zharfa yang dihantar ke sebuah sekolah agama Islam berasrama di Bandung, Indonesia.

Oleh kerana gaya hidupnya yang dianggap terlalu bebas oleh ibu dan ayah tirinya, Zharfa dihantar ke sekolah tersebut dengan harapan baru di mana sekolah itu dapat memulihkan akhlak dan melembutkan hatinya.

Namun seperti yang dijangka Zharfa memberontak dan cuba melarikan diri namun percubaannya gagal dan dia mula terpikat dengan salah seorang ustaz yang juga guru silat di sekolah tersebut (lakonan hebat Donny Alamsyah)

Biarpun jalan ceritanya agak ringan dan mudah, namun filem ini tidaklah kosong atau membazir masa mereka yang menonton. Ia ada pesanan yang cuba disampaikan dalam selingan setiap babak serta alur cerita.

Di samping itu, filem ini juga memberi peluang kepada pelakon utamanya Kaka Azraff untuk menonjolkan bakat lakonannya dengan lebih mendalam. Malah tidak keterlaluan jika kami menyatakan bahawa Kaka telah memberikan persembahan yang sangat hebat dalam menghidupkan watak Zharfa.

Selain babak-babak menginsafkan dengan sedikit pengisian kerohanian, Kaka juga lincah melakonkan aksi pencak silat dengan begitu baik sekali.

Zharfa sudah mula ditayangkan di semua pawagam bermula 7 November 2019.