Kisah semut dan Nabi Sulaiman a.s.

Kepercayaan Abi Aasim 12-Jun-2020
Tapak Masjid al-Aqsa, dipercayai tempat wafatnya Nabi Sulaiman a.s. © Dmitrii Melnikov | Dreamstime.com

Salah satu cara Allah SWT dalam mendidik manusia adalah melalui kisah yang termaktub dalam Al-Quran. Melalui kisah yang terkandung di dalam Al-Quran, dapatlah manusia mengambil pelajaran dan iktibar.

Ini sesuai dengan peranan manusia sebagai hamba-Nya yang harus beribadah dan sebagai khalifah Allah SWT yang harus memakmurkan bumi-Nya. Begitu juga dengan kisah semut dan Nabi Sulaiman a.s. yang telah dirakamkan oleh Allah dalam surah Al-Naml, ayat 18-19 ini.

“(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke Waadin-Naml, berkatalah seekor semut: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.

Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.”

Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah semut dan Nabi Sulaiman a.s. ini. Antaranya ialah:

Dalam kehidupan, perlulah kita tolong menolong sesama insan. Bahkan sebagai seorang Muslim, perkara ini memang dituntut dalam agama kita. Ambillah contoh semut, mereka bekerja dengan sikap tolong-menolong sesama mereka. Jika terdapat makanan yang tidak dapat dibawa oleh mereka, maka mereka akan mengangkatnya bersama-sama pulang ke sarang.

Manusia perlu menguruskan kehidupan dengan teratur dan terpimpin. Sebagaimana semut di dalam kisah ini yang mengumpulkan kawan-kawannya dan memberi amaran supaya mereka berhati-hati dan menjauhkan diri daripada bahaya agar tidak dipijak oleh Nabi Sulaiman a.s. dan bala tenteranya. Sikap semut ini tidak ubah seperti seorang pemerintah yang mengatur dan memimpin rakyatnya.

Menggunakan akal dan fikiran untuk mengkaji kejadian Allah SWT. Melalui penyelidikan, penyelidik berjaya mengkaji kehidupan semut yang menakjubkan dalam menjalani urusan hariannya. Semut membuat tempat tinggal di dalam tanah, kemudian membina rumah-rumah yang terdiri daripada atap, ruang tengah dan bilik yang bertingkat-tingkat. Mereka seterusnya memenuhi tempat tinggal mereka dengan biji-bijian sebagai sumber makanan pada musim sejuk dan menyembunyikannya di kawasan paras yang tinggi bagi melindunginya daripada terkena air hujan. Urusan harian mereka saling tak tumpah seperti apa yang dilakukan oleh manusia.

Allah SWT memberi peringatan kepada mahkluknya dalam pelbagai cara. Melalui kisah semut dan Nabi Sulaiman a.s. ini, Allah datangkan peringatan dan pengajaran melalui makhluk sekecil semut. Sama-samalah kita ambil iktibar dan pengajaran dari kisah ini.