Kita dan amalan untuk tidur

Budaya Hanita Hassan 11-Sep-2020
dreamstime_s_104096925
Amalan sebelum tidur © Mohd Hafiez Mohd Razali | Dreamstime.com

Setiap hari badan perlu berehat setelah melakukan tugas seharian.  Secara purata, kita menggunakan satu pertiga daripada hidup untuk tidur.  Ketika saintis mencari punca mengapa kita perlu tidur, al-Quran sudah menerangkan sejak lama dahulu.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Dialah yang menjadikan untukmu malam (sebagai) pakaian, dan tidur untuk istirehat dan Dia menjadikan siang untuk bangun berusaha.”  (Surah Al-Furqan, ayat 47)

Begitu juga dalam surah az-Zumar, ayat 42 bahawa Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:  “Allah SWT memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya, maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditetapkan.  Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir.”  (Surah Az-Zumar, ayat 42)

Setiap hari kita akan memperuntukkan beberapa jam untuk tidur. Ketika kita sedang tidur, tubuh badan sebenarnya sedang bekerja keras.  Banyak kebaikan yang boleh diperoleh apabila kita dapat tidur dengan cukup dan nyenyak.  Tidur yang bekualiti dapat mengurangkan beban terhadap jantung kerana tekanan darah dan kadar degupan jantung menurun pada waktu malam.

Bagi yang sedang menjaga diet, kurang tidur boleh mengganggu keseimbangan hormon di dalam badan sekali gus menambah selera makan sehingga mengakibatkan pengambilan kalori berlebihan. Kajian yang dilakukan oleh American Journal of Clinical Nutrition mendapati mereka yang mendapat rehat yang cukup akan makan kurang 300 kalori sehari berbanding mereka yang tidak cukup rehat.

Beberapa tips untuk tidur yang cukup dan berkualiti ialah seperti mengikut jadual tidur, elak pengambilan kafein empat ke enam jam sebelum tidur, buat rutin sebelum tidur seperti membaca al-Quran, solat fardu atau sunat, zikir, jauhkan alat elektronik, meminimumkan cahaya dan bunyi bising.

Islam mengajar umatnya supaya melakukan beberapa amalan sunah sebelum berehat dan melelapkan mata.  Kesemua amalan sunah ini besar manfaatnya sekiranya diamalkan.  Sebelum tidur, niatkan kerana Allah SWT.  Kita mengambil wuduk, solat sunat witir, membaca surah al-Mulk dan surah-surah  yang disarankan, doa atau zikir serta mengiring ke sebelah kanan.  Apabila kita dapat melakukan semua ini,  secara tidak sedar kita akan mendapat keberkatan-Nya  dan meningkatkan kualiti tidur.

Daripada Al-Bara bin Aziz r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jika kamu datang ke tempat tidurmu maka berwuduklah sepertimana kamu berwuduk untuk solat. Kemudian berbaringlah dengan lambung kananmu dan sebutlah:  Ya Allah aku berserah diri pada-Mu.  Aku serahkan urusanku pada-Mu.

Aku berlindung kepada-Mu dengan penuh rasa cinta dan takut.  Tidak ada tempat berlindung kecuali kepada-Mu.  Aku beriman dengan kitab yang telah Engkau turunkan dan juga beriman dengan Nabi yang telah Engkau utuskan.  Jika kamu mati maka kamu mati dengan fitrah dan jadikanlah ia akhir ucapan yang kamu ucapkan.   (Hadis riwayat Al-Bukhari, 6311)

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW  bersabda:  “Sesiapa yang membaca dua ayat terakhir Surah al-Baqarah pada malam hari, maka ia sudah cukup.”  (HR al-Bukhari, 5009)

Abu Hurairah r.a turut meriwayatkan: “Sahabatku (Nabi Muhammad SAW) telah mengarahkan aku untuk melaksanakan tiga perkara:  tiga hari puasa setiap bulan, dua rakaat solat dhuha dan melaksanakan witir sebelum tidur.”  (HR Muslim)

Semoga tidur kita berkualiti dan mendapat keberkatan-Nya.