Kita dan menghadiri majlis ceramah

Budaya Nur Adibah Ramly 17-Sep-2020
dreamstime_s_64031189
Kita dan menghadiri majlis ceramah © Ahmad Az Mohd Mokhtar | Dreamstime.com

Hadir dan duduk dalam acara dan majlis agama yang boleh meningkatkan ingatan kita kepada Allah SWT adalah sangat digalakkan. Sudah tentu, ketika ini di kebanyakan tempat di seluruh dunia, orang ramai telah dinasihatkan untuk tinggal di rumah dan tidak menghadiri sebarang perjumpaan awam.

Sungguhpun begitu, kita hendaklah mengetahui betapa pentingnya menghadiri majlis keagamaan sebegini, kerana apabila Allah SWT menghendaki untuk mengubah sesuatu keadaan, dan tiada lagi sekatan dijalankan, maka kita hendaklah  berusaha untuk menghadirkan diri.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.” (Hadis riwayat Muslim, 4867)

Majlis dan ceramah keagamaan membantu kita untuk mengingati Allah SWT. Kita  mendengar ceramah mengenai pelbagai topik keagamaan serta dapat berkenalan dengan ramai orang yang juga ingin menambah lebih banyak ilmu pengetahuan tentang Islam.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”(Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Apabila kita dikelilingi oleh golongan yang juga mengingati Allah SWT, maka ia  merupakan peluang terbaik untuk kita berkawan dengannya kerana mereka  menyebarkan pengaruh positif kepada kita.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang mukmin itu berada di atas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka, salah seorang daripada kamu hendaklah memerhatikan dengan siapakah dia bersahabat.”(HR at-Tirmidzi dan Abu Daud)

Meluangkan masa menghadiri majlis keagamaan dan ceramah Islam juga dapat menghalang kita daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak memanfaatkan sepenuhnya setiap hari yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

Sebagai contoh, daripada meluangkan masa pergi ke restoran atau pusat membeli-belah ketika waktu lapang, adalah lebih baik sekiranya kita meluangkan masa dengan menghadiri majlis ilmu dan ceramah agama yang seterusnya dapat membantu kita berasa terinspirasi serta meningkatkan tahap keimanan.

Janganlah kita berasa kecewa jika kita menghadiri suatu majlis dan telah menghabiskan sepanjang hari di sana, tetapi hanya mempelajari satu konsep sahaja. Sebaliknya kita hendaklah bersyukur kerana dengan menghadiri majlis tersebut maka kita telah dapat mempelajari akan sesuatu konsep pada hari itu. Mungkin juga kita akan menghabiskan sepanjang hari dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Oleh itu, kita perlulah sentiasa beringat bahawa Allah SWT memberi ganjaran kepada kita atas setiap usaha yang kita lakukan dalam mengejar pahala. Mungkin dengan mempelajari satu konsep ketika itu ia mampu mengubah seluruh kehidupan kita menjadi lebih baik dan menjadi orang yang lebih beriman.

Adakalanya juga mungkin kita tidak belajar sesuatu yang baharu daripada majlis atau ceramah tersebut, tetapi kita harus ingat bahawa tujuan asalnya bukan untuk selalu belajar sesuatu yang baharu. Sebaliknya, peringatan adalah sesuatu yang kita perlukan.

Kita mungkin berpengetahuan mengenai topik dalam agama kita, tetapi ia tidak bermakna rohani dan keimanan kita masih utuh. Peringatan membantu kita berasa lebih bermotivasi dan mendorong kita ke jalan yang benar.