Kita dan sikap bertangguh dalam diri

Kehidupan Hanita Hassan 27-Sep-2020
Jeune business man travaille, nuit, horloge, défilé de papiers
Kita dan sikap bertangguh dalam diri © Elnur | Dreamstime.com

Bertangguh adalah sikap yang ada dalam diri setiap daripada kita.  Ia sering menjadi penyebab kepada sesuatu kegagalan.  Kita digalakkan supaya menyelesaikan tugas hari ini dan usah ditangguhkan pekerjaan tersebut. Ini kerana esok sudah tentu akan ada banyak lagi peristiwa dan tanggungjawab baharu yang menanti. Akhirnya kita tidak mampu menyelesaikan kerja yang sepatutnya diselesaikan semalam.

Islam mendidik umatnya supaya sentiasa bersemangat melakukan sesuatu pekerjaan.  Ini kerana setiap perkara yang dilakukan sambil lewa adalah suatu hal yang sangat merugikan.  Seperti kata pepatah, kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan.

Rasulullah SAW dalam sebuah hadis mengingatkan:  “Barang siapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka tidak akan dipercepatkan hartanya.”  (Hadis riwayat Muslim)

Contohnya kita bercadang menanam biji benih labu hari ini, jika kita tangguhkan sudah tentu ia tidak akan mengeluarkan hasil.  Malah biji benih yang kita simpan itu akan rosak akhirnya dan terpaksa dibuang begitu sahaja.  Apabila benih yang kita tanam itu tumbuh menjadi tanaman dan  berbuah, ia bukan sahaja menjadi makanan kepada kita yang menanamnya tetapi juga makhluk lain seperti haiwan dan serangga.  Malah diberi ganjaran sedekah.

Daripada Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tidak yang lain kecuali baginya sebagai sedekah.”  (HR al-Bukhari, 2320)

Apabila di tempat kerja, setiap hari tentu ada tugas penting yang perlu anda selesaikan semalam tetapi tidak dibuat.  Contohnya, mungkin ada borang permohonan asnaf yang memerlukan bantuan yang sepatutnya diproses segera tetapi dibiarkan tanpa tindakan lanjut.  Sikap bertangguh kerana  alasan remeh temeh akhirnya melewatkan permohonan asnaf mendapatkan bantuan yang sepatutnya boleh diperolehi dalam tempoh yang singkat.

Begitu juga dengan urusan di rumah.   Anda bertangguh mengemas rumah, melipat pakaian, menggosok baju atau menyapu sampah sehingga menyebabkan tikus dan lipas berkeliaran kerana rumah yang kotor.  Anda juga mungkin mahu menghubungi ibu bapa di kampung bertanya khabar, membalas emel atau pesanan whatshapp sahabat lama, melakukan senaman harian serta menjaga diet untuk menurunkan berat badan dan sebagainya.

Dalam aspek agama, anda  berimpian mahu menunaikan solat berjemaah di masjid setiap waktu,  bersedekah, membaca al-quran dan membuat lebih banyak amal kebaikan, berzikir setiap hari demi reda Allah SWT.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:  “Setiap anak Adam pasti sering melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang rajin bertaubat.”  (HR Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Sikap bertangguh wujud dalam diri kerana lemahnya pengurusan anda sama ada dari segi pengurusan diri, masa, sumber mahupun tugas.  Justeru marilah kita berusaha menjadi orang yang bersemangat tinggi. Kita buat senarai tugas dan selesaikan apa yang perlu diselesaikan hari ini.

Daripada Ibn Umar r.a katanya Rasulullah SAW memegang dua bahuku seraya bersabda:  “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.”  Dan adalah Ibn Umar r.a berkata:  Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi.  Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang.  Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.”  (HR al-Bukhari, 6053)