Kita dan sujud syukur kepada Allah SWT

dreamstime_s_175617169
Sujud kepada-Nya © Yudhistirama | Dreamstime.com

Ketika mendapat khabar gembira, ada yang menterjemah rasa kesyukuran itu secara spontan dengan melakukan sujud syukur. Syukur adalah pengiktirafan terhadap kurniaan Allah SWT dengan memuji-Nya.

Dari segi istilah syukur bererti seorang hamba menggunakan semua nikmat kurniaan Allah SWT kepadanya untuk mentaati-Nya. (Lihat Hasyiah al-Syabramalisi 1/22). Sujud syukur pula ditakrifkan sebagai pelakuan kita apabila memperoleh nikmat atau tertolak bala.  (Lihat Syarh al-Minhaj dan Hasyiah al-Qalyubi, 1/208)

Sekiranya anda peminat perlawanan bola sepak, pasti anda pernah melihat ada pemain yang sujud di atas padang setiap kali berjaya menjaringkan gol.  Contoh paling dekat ialah pemain terkemuka Liverpool iaitu Mohamad Salah.

Daripada Abi Bakrah r.a berkata yang maksudnya:  “Bahawa sesungguhnya Nabi SAW apabila datang kepadanya sesuatu yang menggembirakan atau  khabar gembira, beliau lantas sujud untuk berterima kasih kepada Allah SWT.”  (Hadis riwayat Ibn Majah, 1394)

Sejarah juga mencatat bahawa ramai tokoh Islam yang melakukan sujud syukur.  Antaranya Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a setelah berjaya membuka kota Yamamah dan mendengar perkhabaran Musailamah al-Kazzab dibunuh.  Begitu juga semasa Saidina Ali r.a mendapati terbunuhnya Za Thadiyah daripada kalangan Khawarij, dia telah melakukan sujud syukur.

Berdasarkan mazhab Shafie syarat melaksana sujud syukur sama seperti solat dan sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, pakaian dan tempat yang dipakai sujud hendaklah suci, menutup aurat, menghadap kiblat, niat melaksanakan sujud syukur serta masuknya waktu sujud iaitu segera setelah waktu terjadinya nikmat atau terhindarnya musibah.

Ia bermakna sekiranya anda bukan dalam keadaan suci, tidak perlu sujud syukur sepertimana yang dinyatakan oleh al-Syarqawi.  Sebaliknya bagi sebahagian Malikiyah berpendapat ia  harus tanpa wuduk.  Sepertimana menurut Al-Khattab bahawa rahsia makna yang membawa kepada sujud syukur akan hilang apabila kita ta’khirkan sujud syukur sehingga kita bersuci.  (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 24/248).

Imam Syaukani juga berpendapat bahawa “Dalam Sujud Syukur tidak terdapat sebuah hadis pun yang menjelaskan bahawa untuk melakukannya disyaratkan berwuduk, suci pakaian atau tempat sujudnya.”

Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga), tatkala  Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”  (Surah Ibrahim, ayat 7)

Kita biasa mengucapkan Alhamdulillah  apabila menerima nikmat atau rezeki dari Allah SWT.  Ia adalah sifat yang cukup tinggi kerana tidak ramai yang mampu melakukannya. Allah telah menegaskan bagi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur akan ditambah nikmat mereka serta mendapat pahala besar daripada perbuatan itu.

Begitu juga apabila diuji dengan kemiskinan, penyakit dan pelbagai masalah lain, kita tetap bersyukur, sabar dan yakin bahawa semua yang dihadirkan Allah SWT itu ada hikmahnya.  Malah dugaan dan cabaran adalah petunjuk  kepada kita untuk menguatkan keimanan dan menunaikan setiap suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

Tidak kurang juga yang kufur dengan nikmat Allah SWT, sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki dan mudah dihasut syaitan.  Justeru, marilah kita menjadi seorang hamba yang bersyukur dengan menggunakan segala nikmat Allah di jalan yang diredai.

Sujudlah sebagai menyatakan kesyukuran ketika menerima berita gembira mahupun duka.  Semoga kita diberi kefahaman untuk melaksana agama kita dengan sebaiknya.