KL Raya tetap pilihan syarikat Fortune 500 dan Forbes 2000

Perniagaan Hafiz Firdaus 29-Apr-2020
KL Raya (Greater KL) © Asnidamarwani | Dreamstime.com

Syarikat-syarikat multinasional (MNCs) dalam kelompok Fortune 500 dan Forbes 2000 (MNC) masih memandang Kuala Lumpur Raya (Greater KL) sebagai destinasi pelaburan strategik mereka walaupun menghadapi krisis global COVID-19.

Muhammad Azmi Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Kuala Lumpur Corporation (InvestKL) berkata, pihaknya telah menerima banyak maklum balas positif serta pertanyaan dari syarikat luar negara yang ingin mengembangkan operasi mereka di Malaysia atau Asia Tenggara.

Terdapat syarikat-syarikat multinasional yang melihat lebih jauh ke hadapan dan meneruskan rancangan pelaburan mereka. Namun, ada juga syarikat lain yang baru mencari peluang dan masih membuat penyelidikan tentang pilihan mereka.

Sehingga Disember tahun lalu, lebih daripada 90 syarikat-syarikat multinasional dari Amerika Syarikat, Eropah, dan Asia telah memilih KL Raya sebagai pusat serantau mereka. Ini telah melibatkan pelaburan langsung asing bernilai RM13 bilion dan mewujudkan 14,000 pekerjaan berkualiti tinggi.

Menurut Muhammad Azmi, InvestKL yang beroperasi dan bekerja dari rumah akan terus mengadakan perbincangan dan perjumpaan melalui media digital. Pandemik koronavirus baru COVID-19 ini dengan jelas telah mengubah landskap ekonomi dan perniagaan, baik di peringkat tempatan dan global.

Perubahan dapat dilihat pada cara bekerja, dengan peralihan ke digitalisasi dan penggunaan teknologi berimpak tinggi yang meluas dalam pelbagai industri bagi menerima atau melengkapkan era kelaziman baharu yang dihadapi dunia sekarang.