‘KL Vampires’: Antara Lagenda, Fiksyen Dan Realiti

Dalam dunia sebenar, vampire sentiasa dianggap sebagai sebuah mitos, dan kebiasaannya dalam kalangan masyarakat, ia lebih kepada kisah yang diceritakan pada waktu malam.

Namun, adakah benar vampire itu wujud?

Menerusi filem terbaharu yang diterbitkan oleh Cinemaya Studios Sdn. Bhd. yang berjudul KL Vampires, penonton bakal disajikan dengan kisah tentang kewujudan makhluk yang dikenali sebagai vampire yang mengganas di Kuala Lumpur.

Cuba mengetengahkan tema yang lain daripada lain, Pengarahnya, Daven R. berkata, minat yang mendalam terhadap filem-filem fiksyen seperti Star Wars dan Close Encounters Of The Third Kind telah mencetuskan idea kepadanya untuk menghasilkan filem fiksyen.

Ujarnya, pada tahun 2012 dia terbaca sebuah tulisan seorang penulis blog yang menggunakan nama Nazri Vovinski tentang vampire.

“Dalam tulisannya itu, dia mengatakan tentang kewujudan vampire di Malaysia dan tulisannya itu agak melucukan.

“Kemudian saya bermimpi pula tentang adanya seorang vampire jahat yang ingin menguasai dunia dan mulai saat itu saya bertekad untuk menghasilkan sebuah filem berkisarkan makhluk itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon utama KL Vampire, Raja Ilya berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem ini setelah melihat jalan cerita tentang vampire yang jarang dihasilkan.

Tambahnya, pada masa sama dia memang berkeinginan untuk bekerja di bawah arahan Daven R. dan tawaran untuk memegang watak sebagai Ratu Citra Sari lantas diterimanya.

“Sebelum ini saya memang teringin untuk bekerja di bawah arahan Daven R. dan hampir menjayakan sebuah projek, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan.

“Kemudian apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem KL Vampires, saya rasa tidak boleh menolaknya kerana percaya dengan hasil kerjanya yang sangat membanggakan,” ujarnya.

KL Vampires mengisahkan tentang dua kumpulan vampire yang merupakan keturunan kepada Raja Bersiong.

Mereka tidak lagi menghisap darah manusia, sebaliknya menggunakan darah sintetik sebagai ganti.

Kerajaan vampire yang paling kuat ketika itu diketuai oleh seorang Ratu Vampire iaitu Ratu Citra Sari dan dibantu ketua komandan iaitu Shah.

Manakala sebuah lagi kumpulan diketuai oleh Argus, yang merupakan anak kepada Panglima Adi Wijaya dan telah mengkhianati Raja Bersiong iaitu ayah kepada Ratu Citra Sari.

Sebelum itu, kira-kira 200 tahun yang lalu, Raja Bersiong telah membunuh Adi Wijaya serta bala tenteranya dengan menimbus mereka di dalam tanah menerusi mantranya.

Argus cuba membangkitkan semula tentera-tentera tersebut dan ia hanya dapat dilakukan dengan pisau bersiong dan mantra istimewa.

Apakah yang akan berlaku seterusnya dan bagaimanakan filem fiksyen ini digarap untuk memenuhi selera penonton?

Saksikan KL Vampire yang akan menemui anda di pawagam-pawagam seluruh negara bermula 14 November 2019.

Ia turut dibintangi oleh Josiah Hogan, Aeril Zafrel, Reen Rahim, Donny Alamsyah, Cecep Arif Rahman, Saiful Apek dan ramai lagi.

 

Foto: Empire Film Solution