KLCI meningkat: IMF menambah sudut pandang, pasaran dipacu COVID-19

Perniagaan Adea Ghafar 15-Apr-2020
Terkini dari Bursa Malaysia © Yury Cherenkov | Dreamstime.com

Hari ini, sejumlah 5.54 bilion saham bernilai RM2.73 bilion telah diniagakan di Bursa Malaysia. Terdapat 535 kenaikan dan 373 penurunan di seluruh bursa. FBM (FTSE Bursa Malaysia) KLCI meningkat 16.13 mata (1.18%) pada 1,387.79 ketika ditutup. Jumlah dagangan saham di Bursa Malaysia turut meningkat lima bilion unit. Pasaran dilihat mengambil isyarat daripada faktor-faktor termasuk kenaikan semalaman ekuiti Amerika Syarikat (AS) pada hari Selasa, serta pengumuman Jabatan Kehakiman Amerika (DoJ) yang mengembalikan Malaysia sejumlah USD300 juta (RM1.292 bilion) dana tambahan yang disalahgunakan dari 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut TA Securities Holdings Bhd., tanda-tanda kestabilan mengenai wabak COVID-19 mula ditunjukkan, angka-angka ekonomi dan korporat juga tidak begitu menakutkan. Pemulihan harga minyak global adalah penting dalam mengekalkan kenaikan seterusnya dari tahap semasa KLCI. Hong Leong Investment Bank Bhd turut berpendapat, setelah prestasi Dow yang kuat dan pemuncakan wabak COVID-19 di dunia, KLCI berkemungkinan naik lebih tinggi dan menguji semula zon 1.400 indeks FBM KLCI, sebelum penarikan semula yang penting bakal terjadi.

Sementara itu, DoJ mengumumkan semalam bahawa ia telah mengembalikan kepada Malaysia sekitar USD300 juta dana tambahan yang disalahgunakan dari 1MDB melalui pengubahan wang haram di institusi-institusi kewangan yang terlibat di Amerika, Switzerland, Singapura dan Luxembourg. Ditambah dengan dana lain yang telah dikembalikan sebelum ini pada Mei 2019, Amerika telah mengembalikan, atau membantu Malaysia mendapatkan semula dana USD600 juta yang disalahgunakan dari 1MDB. Usaha DoJ untuk mendapatkan kembali dana yang disalahgunakan dari 1MDB akan terus dijalankan.

Laporan Ekonomi Dunia terbaru oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) turut menyentuh ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Malaysia, dan kadar pengangguran, berkemungkinan telah mempengaruhi dagangan saham Malaysia hari ini apabila IMF mempertimbangkan kesan ekonomi dari wabak COVID-19. Lapor IMF, wabak COVID-19 telah mengakibatkan peningkatan kos kemanusiaan yang tinggi di seluruh dunia, dan langkah-langkah perlindungan yang diperlukan amat mempengaruhi aktiviti ekonomi. Kesan dari wabak ini, ekonomi global dijangka menguncup tajam sebanyak 3% pada tahun 2020, jauh lebih teruk daripada krisis kewangan 2008–09.

Menurut IMF, senario asas yang menjangkakan wabak COVID-19 akan beransur hilang pada separuh kedua 2020, dengan usaha pembendungan dilakukan secara berperingkat – ekonomi global diunjurkan akan tumbuh sebanyak 5.8% pada tahun 2021 apabila kegiatan ekonomi menjadi normal, dengan sokongan dasar dan polisi berkaitan. Ekonomi Malaysia dijangka menguncup 1.7% pada 2020 sebelum menambah 9% pada tahun 2021. Kadar pengangguran Malaysia turut dijangka mencapai 4.9% pada tahun 2020 sebelum bertambah baik  dan meningkat 3.4% pada tahun 2021.