Kolam air panas semula jadi di Melaka

Melancong Hanita Hassan 25-Okt-2020
facebook.comjasinhotspring
Kolam Air Panas Bemban (Jasin) di Melaka © facebook.com/jasinhotspring

Air panas semula jadi yang keluar dari perut bumi adalah baik untuk kesihatan. Kajian pakar perubatan mendapati air panas semula jadi boleh merawat penyakit luaran dan dalaman badan. Masyarakat kita telah lama mengamalkan menggunakan air panas semula jadi untuk mengubat penyakit.

Kandungan galian terutama sulfur di dalam air panas semula jadi berupaya mengatasi masalah kulit seperti kudis dan gatal.  Ia juga boleh merawat  lenguh-lenguh badan, sakit jantung, darah tinggi, lumpuh, kencing manis dan barah di samping  baik untuk membaiki perjalanan darah.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa al-Quran adalah benar.  Belumkah (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah Fussilat, ayat 53)

Air panas semula jadi di Melaka

Melaka ialah negeri kedua terkecil di Malaysia. Namun, ia dikurniakan Allah SWT dengan tiga kawasan air panas semula jadi yang banyak khasiatnya serta boleh memberi manfaat kepada manusia.  Kolam air panas semula jadi tersebut adalah di Taman Rekreasi Air Panas Bemban di Jasin, Kolam Air Panas Gadek di Alor Gajah dan Kolam Air Panas Cherana Putih di Alor Gajah.

Kolam Air Panas Bemban merupakan destinasi rehat yang perlu dikunjungi.  Ia terletak di Kampung Ayer Panas, Bemban, Jasin.  Kolam ini mengandungi air mineral semula jadi iaitu air mineral suam tinggi sulfur putih beralkali atau alkaline white-sulphur warm springs yang menyihatkan.  Ia boleh membantu mencantikkan kulit, menyembuhkan penyakit kulit dan menghilangkan tekanan.

Pengunjung dewasa hanya dikenakan tiket berharga RM2.00 pada setiap hari Selasa hingga Jumaat dan RM6.00 pada hujung minggu serta cuti am.  Manakala kanak-kanak dikenakan harga RM2.00 setiap Selasa hingga Jumaat dan RM3.00 pada hujung minggu serta cuti am.

Waktu operasi pada setiap hari dari jam tiga petang hingga 12 tengah malam hari Isnin, sembilan pagi hingga 12 tengah malam pada hari Ahad, Selasa, Rabu dan Khamis.  Hari Jumaat dan Sabtu, ia dibuka dari jam sembilan pagi hingga dua pagi.

Kolam Air Panas Bemban, Jasin – wujud sejak 1884

Kolam Air Panas Bemban atau Kolam Air Panas Jasin telah wujud sejak tahun 1884 iaitu lebih 100 tahun.  Kawasan ini agak terpencil dan jauh dari hiruk pikuk bandar, dikelilingi pohon-pohon menghijau dan ladang kelapa sawit serta getah.  Anda akan berasa nyaman melihat kehijauannya sepanjang perjalanan masuk dari tol Ayer Keroh yang hanya mengambil masa 20 minit perjalanan.

Air panas yang disalurkan ke setiap kolam datangnya daripada lima buah perigi sumber (asal). Ia dipulihara keasliannya serta tidak bercampur dengan air hujan. Kawasan kolam ini bersih dan selesa sebagai tempat rekreasi hujung minggu bersama keluarga.

Kawasan seluas dua hektar ini menyediakan sembilan kolam air panas, dua kolam taman air dan satu kolam mineral sejuk.  Anda boleh menikmati kehangatan air panas dengan suhu mencecah dari 40 ke 41 darjah celsius.

Mandi dan merendam kaki di dalam kolam air panas yang terhasil dari bawah tanah bukan sesuatu yang janggal dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Setiap kali kita merendam kaki dan mandi di dalam kolam air panas, tubuh terasa ringan, lenguh dan sengal juga hilang.  Selamat berlibur.