Konsep Islam, Iman dan Ihsan

Agama Abi Aasim 10-Jul-2020
Islam, Iman dan Ihsan © Sonyasgar | Dreamstime.com

Islam adalah agama yang sempurna. Ia terdiri dari tiga komponen utama yang  menjadi  asas  dalam  Islam.  Ia merangkumi  seluruh aspek kehidupan manusia. Komponen tersebut adalah Islam, Iman dan Ihsan.

Rasulullah SAW bersabda;” Dari  Abu Hurairah r.a  berkata: “bahwa  Nabi SAW  pada  suatu hari  muncul  kepada  para  sahabat,  lalu  datang  Malaikat  Jibril a.s yang  kemudian  bertanya: “Apakah  Iman  itu?” Nabi  SAW menjawab: “Iman adalah kamu beriman kepada Allah SWT, malaikat-malaikat-Nya,  kitab-kitab-Nya,  pertemuan  dengan-Nya,  Rasul-Rasul-Nya,  dan kamu  beriman  kepada  hari  berbangkit.”

(Jibril  a.s)  berkata: “Apakah  Islam  itu?”  Jawab  Rasulullah  SAW: “Islam  adalah  kamu menyembah  Allah SWT  dan  tidak  menyekutukannya  dengan  suatu  apapun, kamu dirikan solat, kamu tunaikan zakat yang diwajibkan, dan berpuasa di bulan Ramadan.” (Jibril a.s) berkata: “Apakah Ihsan itu?” Nabi SAW menjawab: “Kamu menyembah Allah seolah-olah melihat-Nya dan bila kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Secara ringkasnya, konsep Islam, Iman dan Ihsan adalah seperti berikut:

Islam

  • Mentauhidkan Allah SWT
  • Mematuhi segala perintah dan meninggalkan segala larangan Allah
  • Menunaikan rukun Islam yang difardukan dan serta mengikuti ajaran yang dibawa oleh Baginda Nabi Muhammad SAW

Iman

  • Membenarkan dengan hati dan berikrar dengan lisan serta beramal dengan ajaran-ajaran Allah SAW yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW
  • Memahami serta menghayati rukun Iman dengan penuh keyakinan iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman kepada kitab, beriman kepada kitab-kitab Allah, beriman kepada Nabi dan Rasul, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qada dan qadar
  • Melibatkan tiga unsur iaitu mengakui dalam hati Islam adalah agama yang benar, menyatakan dengan lidah Islam adalah agama yang benar dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung dalam syariat Islam

Ihsan

  • Melakukan ibadat dengan khusyuk dan ikhlas dan yakin bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi setiap perbuatannya
  • Melakukan ibadah dengan ikhlas hanya kerana Allah
  • Sentiasa mengingati Allah dan memuji kebesaran Allah

Sudah menjadi lumrah kehidupan di dunia ini penuh dengan tipu daya. Tanpa iman dalam hati, diri kita pasti dikuasai oleh nafsu. Berpegang teguhlah kita pada tali Allah SWT. Semoga kita semua menjadi Muslim yang sentiasa menunaikan tangunggjawab kita sebagai khalifah di bumi Allah.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!