Konsert Animasi Didi & Friends Ogos Hadapan

Siri animasi kanak-kanak popular, ‘Didi & Friends’ bakal mengadakan ‘Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends’, yang akan dibawakan secara ekslusif dan interaktif di Quill City Convention Center, Kuala Lumpur.

Konsert berdurasi 65 minit itu akan berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula dari 15 sehingga 18 Ogos 2019 hadapan.

Diumpamakan sebagai sebuah fenomena di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru, ‘Didi & Friends’ adalah produksi bersama Digital Durian dan Astro, dengan lebih daripada 1.8 juta pengikut dan 1.4 bilion tontonan di YouTube.

‘Didi & Friends’ berjaya memenangi hati peminat menerusi lagu-lagu menarik dan watak-watak comel yang begitu disayangi ramai seperti, ‘Didi’, ‘Nana’, ‘Jojo, ‘Pak Atan’ dan banyak lagi.

Berbeza dari konsert mini dan karnival yang dianjurkan oleh Digital Durian sebelum ini, ‘Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends’ ini merupakan konsert ‘live’ pertama ‘Didi & Friends’ yang mempersembahkan lagu-lagu hit seperti ‘Semut Berkawad’, ‘BINGO’ dan lain-lain yang telah menerima jutaan tontonan melalui saluran YouTube ‘Didi & Friends’ dan juga lagu-lagu yang diberi nafas baharu.

Selain itu, nantikan juga ‘Didi & Friends’ yang akan mempersembahkan ‘Lagu Mandi’ dalam versi tarian yang dipanggil ‘Lagu Mandi Dance’. Bahkan mereka juga akan mencabar orang ramai untuk membuat tarian ‘Lagu Mandi Dance’ dan memuat naik video tarian masing-masing di laman sosial media dengan tanda pagar (hashtag) #LaguMandiChallenge.

Muzik video ‘Lagu Mandi Dance’ yang dijangka menemui peminat dalam masa terdekat ini akan turut menyaksikan penglibatan barisan personaliti popular tanah air seperti Izzue Islam, Syatilla Melvin, Aqil Nahar dan Ara Aziz.

Tambah menarik, animasi kartun Islamik, ‘Omar & Hana’ akan turut membuat penampilan istimewa di konsert ini.

Tiket-tiket dijual pada harga RM85 RM55 dan RM35 Untuk pembelian awal yang terhad untuk 1000 orang pertama, tiket-tiket dijual pada harga RM80, RM50 dan RM33.

Harga tiket Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends adalah berbeza mengikut pelan tempat duduk. Terdapat 3 pembahagian zon, iaitu ‘Zon Hora Horey’, ‘Zon A’ dan ‘Zon B’.

Penonton dari ‘Zon Hora Horey’ berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan maskot dan penari dengan lebih dekat dan jelas.

Selain dari itu, penonton juga berpeluang untuk menjadi tiga (3) pasangan ibu dan anak yang bertuah dan dijemput naik ke pentas sempena lagu ‘Ibu dan Anak’. Eksklusif untuk pembeli tiket ‘Zon Hora Horey’, mereka juga akan dapat bergambar dengan mascot semasa sesi meet & greet.

Untuk maklumat lanjut dan info terkini mengenai ‘Konsert Hora Horey Live! Didi & Friends’, sila ikuti platform media sosial rasmi Didi & Friends atau emel ke [email protected].

 

Kredit foto : Digital Durian & Astro Malaysia