Konsert Exists Reunion Ubati Rindu Peminat Setia

Salah satu konsert yang paling tidak dijangka akan berlaku, Konsert Exists Reunion. Kenapa penulis berkata begitu? Pertama mereka tidak pernah melakukan konsert berskala besar, kedua mereka sudah berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Namun malam 28 September 2019 yang lalu boleh diibaratkan sebagai magis bagi peminat-peminat setia kumpulan yang mula ditubuhkan pada tahun 1991 ini.

Kesemua ahli kumpulan asal Exists iaitu Mamat, Ajai, Along, Ujang, Musa, Shah dan Ezad telah bergabung bagi menjayakan konsert yang telah berlangsung di stadium Melawati Shah Alam ini.

Exists juga bertuah kerana biarpun vokalis mereka bertukar tangan dari Mamat kepada Ezad, namun momentum populariti kumpulan ini tidak menurun malah semakin menaik.

Penulis percaya penonton yang hadir pada malam itu terbahagi kepada dua kelompok, iaitu peminat Exists di era Mamat dan juga di era Ezad.

Namun itu bukan alasan untuk mereka tidak menikmati kedua-dua lagu nyanyian vokalis bersuara emas itu. Tidak kiralah lagu nyanyian siapa pun, masing-masing ‘enjoy’ dengan setiap persembahan.

Pujian harus diberikan kepada pihak penganjur iaitu Shiraz Projects kerana telah memaparkan bait-bait lirik kesemua lagu yang dipersembahkan pada malam itu lantas menjadikan konsert itu seperti perhimpuan sesi karaoke berskala besar!

Setiap lagu yang disampaikan membuai emosi serta kenangan penonton yang hadir. Kelihatan di wajah mereka sungguh gembira dan teruja dapat menonton serta menyanyi bersama lagu-lagu yang pernah menjadi peneman zaman muda mereka satu ketika dahulu.

Sebanyak 24 buah lagu dipersembahkan pada malam itu, ada antara lagu hits yang diperdendangkan pada malam itu adalah ‘Untukmu Ibu,’ ‘Rahsia Pohon Cemara,’ ‘Alasanmu,’ ‘Dirantai Digelangi Rindu,’ ‘Mengintai Dari Tirai Kamar,’ ‘Masih Terserlah Ayumu,’ ‘Jesnita,’ ‘Seperti Dulu,’ ‘Janji Padamu’ dan banyak lagi.

Penulis terpana dengan keunggulan vokal Ezad Lazim yang masih berbisa. Suara Ezad kedengaran masih sama seperti dahulu malah boleh diibaratkan seperti mendengar rakaman.

Tidak adil rasanya jika mahu membandingkan vokal Mamat waktu zaman dahulu dengan sekarang. Harus diingatkan bawah ketika pertama kali Mamat merakamkan lagu bersama Exists, beliau baru berusia 13 tahun. Namun Mamat berjaya menyampaikan lagu-lagunya dengan baik pada malam itu.

Jika nak dibicarakan soal cela, mungkin dari segi susunan kedudukan lagu yang dipersembahkan tidak mengikuti momentum neratif yang diharapkan.

Dari segi komunikasi bersama penonton pula, penulis mengharapkan akan ada lebih lagi interaksi bersama peminat kerana untuk kumpulan yang tidak pernah membuat konsett berskala besar, penting untuk mengembalikan nostalgia bersama peminat dari segi penceritaan.

Mungkin boleh diperbaiki apabila melakukan persembahan ketika di Singapura nanti yang khabarnya tiket sudah pun habis dijual.

Apa-apa pun tahniah SalamToday ucapkan kepada Shiraz Projects dan juga Exists sendiri kerana berjaya mengajurkan konsert yang sudah lama dinantikan oleh peminat setia kumpulan ini.

 

Kredit Foto – Shiraz Projects