Konsert Patriotik Untuk Pupuk Semangat Patriotisme

Tahun ini merupakan ulang tahun yang ke-56 sejak negara Malaysia ditubuhkan.

Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ menekankan kepentingan unsur perpaduan dan patriotisme demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Justeru, dalam usaha untuk memupuk semangat cinta akan negara dalam diri setiap rakyat Malaysia, pelbagai cara dapat dilakukan.

Antaranya adalah dengan mengadakan konsert patriotik yang dapat membantu menanam semangat tersebut serta dalam masa sama turut berpeluang berhibur tanpa mengira kaum.

Menyedari perkara tersebut, Nurture Charity bersama dengan Eternal Entertainment dan Dreamakers Management bekerjasama untuk menganjurkan sebuah konsert yang dinamakan Konsert Patriotik Hello Malaysia 2019 bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.

Bertempat di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, jam 8 malam pada 16 September ini, konsert itu bakal membariskan 19 artis tempatan daripada pelbagai kaum.

Antara artis yang bakal membuat persembahan termasuk Gin Lee, Daniel Cheah, Alvin Chong, As’ad Motawh, Darling Wan Azlyn, Lim Wen Suen, Kmy Kmo & Luca Sickta, Rabbit Mac, Sheezay, Xiiao C, Han Xiiao Aii, Kif Valentine, Kate Chan, Sampson Chew dan Back2Basixx.

Penonton boleh menyaksikan persembahan menarik dengan iringan muzik dan lagu daripada kesemua 19 penyanyi tersebut yang turut akan menyanyikan pelbagai lagu patriotik.

Sebuah lagu patriotik khas, ‘Sayangmu Negaraku’ ciptaan “produser emas” Malaysia, Ciang Teng akan dipersembahkan oleh Back2Basixx, Darling Wan Azlyn, Daniel Cheah, Kate Chan, Sampson Chew, Kif Valentine, Xiiao C, Han Xiiao Aii, Lim Wen Suen, Rabbit Mac dan Sheezay dalam tiga bahasa berbeza iaitu Melayu, Mandarin dan Tamil.

Konsert Patriotik Hello Malaysia bermatlamat untuk menyebarkan cinta dan melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Ia juga diharapkan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya, serta menggalakkan masyarakat menghargai nilai cinta, keharmonian, kesetiaan, keberanian dan dedikasi.

Sementara itu, sebanyak 50% daripada hasil pendapatan konsert tersebut akan disumbangkan kepada Yayasan Pembangunan Kampung Orang Asli.

Nurture Charity berharap untuk mengumpul dana berjumlah RM200,000 menerusi acara tersebut untuk membantu masyarakat orang asli meningkatkan taraf hidup mereka.

Selain itu, turut diadakan adalah Pertandingan Foto Harapan Malaysia, di mana peserta hanya perlu melayari laman web rasmi Konsert Patriotik Hello Malaysia 2019 untuk memuat naik gambar mereka bersama dengan kata-kata harapan untuk Malaysia.

Foto-foto tersebut akan dikumpul dan dipaparkan pada skrin besar semasa konsert.

Foto: Click Entertainment