Konsisten dan disiplin – bagaimana bimbing anak solat

Solat Hanita Hassan
Hanita Hassan
Konsisten dan disiplin - bagaimana bimbing anak solat
Konsisten dan disiplin - bagaimana bimbing anak solat © Odua | Dreamstime.com

Solat merupakan perkara yang sangat penting bagi umat Islam. Ia adalah kewajipan yang diperintah kepada umat Islam untuk menunaikannya  lima kali sehari, melebihi daripada semua perbuatan keagamaan yang lain.

Sekiranya solat dipulihara, perkara lain juga akan menjadi baik.

Konsisten dan disiplin – bagaimana bimbing anak solat

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, mengerjakan amal soleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

(Surah al-Baqarah, ayat 277)

Dalam konteks perkembangan awal kanak-kanak, mengajar anak untuk menunaikan solat merupakan tugas yang wajib dan sangat penting. Mengajar dan memimpin anak-anak dalam solat tidak semudah mengajar ABC atau 123 kepada mereka. Tanggungjawab besar ini datang dengan pelbagai ujian dan memerlukan kebijaksanaan ibu bapa.

Menurut beberapa orang pakar, mendidik anak-anak melalui pendekatan kerohanian adalah bertujuan untuk membersihkan semangat atau jiwa mereka sehingga menjadi lebih suci dan bercahaya.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:

“Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Baqarah, ayat 153)

Petua membimbing anak menunaikan solat 

Berikut adalah beberapa petua untuk membimbing anak anda mula menunaikan solat:

1. Sediakan contoh yang baik

Ibu bapa adalah contoh terbaik dan paling dekat untuk diikuti oleh anak-anak. Bapa yang selalu pergi ke masjid, ibu yang segera menunaikan solat ketika mendengar azan dan mengajar anak-anak mengenai solat berjemaah adalah antara contoh terbaik untuk anak-anak.

Ia adalah salah satu kaedah pembelajaran yang paling berkesan yang dikongsikan oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya iaitu Tarbiyatul Aulad mengenai pentingnya menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak.

2. Umur 0-2 tahun: Mencipta persekitaran kondusif

Meskipun anak-anak masih kecil dan tidak memahami konsep agama, suasana dan persekitaran yang baik akan memudahkan mereka untuk menunaikan solat. Anda tidak boleh menganggap umur mereka yang terlalu muda sebagai alasan untuk tidak mengajar mereka solat.

Sekiranya mereka selalu melihat anda menunaikan solat, mereka juga pasti mahu melakukannya. Begitu juga dengan bacaan dalam solat, mereka akan berusaha  mengikut dan membaca dengan cara mereka. Bercakaplah dengan mereka dan biarkan mereka mendengarnya.

3. Umur 2-3 tahun: Jemput anak anda

Jangan teragak-agak untuk  mengajak dan mengizinkan mereka untuk solat bersama-sama. Biarkan mereka bersolat bersama anda walaupun mereka melakukan kesalahan.

Biarkan sahaja mereka mengikut setiap pergerakan anda. Lama-kelamaan mereka akan mula menikmati solat mereka.

4. Umur 4-6 tahun: Kenapa kita solat?

Inilah masa yang tepat bagi anda, ibu bapa untuk memberitahu mereka tentang kepentingan menunaikan solat. Ajari mereka cara bersolat dengan betul dan jelaskan kepentingan solat kepada orang Islam.

Penjelasan dalam bentuk penceritaan adalah yang terbaik kerana mudah difahami.

5.  Umur 7-9 tahun: Objektif dan tanggungjawab

Ini adalah tiga tahun kritikal bagi memperkukuh perkara asas dalam solat. Anda telah menunjukkan contoh, mengajak dan berkongsi pandangan sejak mereka bayi.

Pada masa ini anak-anak semestinya sudah tahu apa yang harus dilakukan apabila masuknya waktu solat, bagaimana  mengambil wuduk secara tertib serta pergerakan dan bacaan dalam solat.

Meskipun tidak lancar atau cekap, sekurang-kurangnya mereka telah mempunyai asas. Ibu bapa perlu sentiasa mengingatkan anak-anak tentang solat kerana ini adalah usia di mana anak-anak menjadi lebih tidak peduli.

6. 10 tahun ke atas: Hukuman

Dalam hadis berhubung solat, Rasulullah SAW telah mengizinkan ibu bapa untuk menghukum anak-anak yang enggan menunaikan solat ketika mereka mula mencapai usia 10 tahun.

Namun, sebelum dijatuhi hukuman, anda mesti bertanya kepada diri adakah anda sudah memberi mereka pelajaran yang sempurna dan menunjukkan contoh yang terbaik.

Hanya anda sebagai ibu bapa yang mengetahui perkara ini. Proses mengajar anak-anak bersolat tidak terhenti ketika usia mereka 10 tahun. Ia adalah permulaan yang akan membentuk keperibadian mereka di masa hadapan.

7. Doa

Semasa mengamalkan semua petua di atas, anda perlu sentiasa berdoa dan memohon pertolongan  Allah SWT agar kehidupan dipermudah dan menjadi lebih baik.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.