Kopi Luwak, Gajah dan kisahnya

Makanan Hanita Hassan 21-Jun-2020
Kopi Luwak © Yulia Drazdovich | Dreamstime.com

Kopi ialah minuman utama dunia. Aromanya mampu merangsang minda.  Kepahitannya membuatkan badan terasa segar. Namun, pernahkah anda mendengar tentang Kopi Luwak atau Kopi Gajah?

Menyoroti sejarah, kopi telah dijumpai di tanah tinggi Etiopia.  Ia diminum buat pertama kalinya pada abad ke-9.  Kemudian merebak sehingga ke Mesir dan Yaman.  Pada abad ke-15 kopi sampai ke negara-negara seperti Armenia, Farsi, Turki dan Utara Afrika.  Dari dunia Islam, kopi mula menular sehingga ke negara-negara seperti Itali dan seluruh Eropah dan Amerika.

Kopi adalah minuman yang disukai ramai.  Kesan perangsang yang terdapat padanya boleh memberi tindak balas kepada peminumnya.  Kopi terdiri daripada beberapa jenis dan yang paling banyak di pasaran ialah dari jenis arabika dan robusta.  Terdapat juga kopi jenis kopi luwak dan kopi gajah.

Kopi Luwak atau Civet Coffee dikatakan mempunyai banyak khasiat.  Biji kopi luwak terhasil daripada biji kopi yang keluar sebagai tinja musang.  Luwak adalah nama haiwan daripada kumpulan mamalia spesis musang.  Binatang ini hidup dalam hutan sekitar Asia Tenggara termasuk di kepulauan Indonesia.

Haiwan ini menggemari buah kopi sebagai makanan bijian seharian. Tabiatnya menyelongkar biji kopi dan memilih biji kopi segar dan betul-betul masak sebagai makanan.  Biji kopi berkulit keras ini tidak tercerna dan keluar sebagai tinja.  Tinja biji kopi ini akan dicuci dan diproses dijadikan kopi.

Kopi Gajah atau Black Ivory Coffee yang mula diperkenalkan oleh Anantara, sebuah hotel di Thailand terhasil daripada proses yang sama.  Ia adalah  hasil pencernaan  tinja gajah.  Bezanya gajah tidak mencari biji kopi sendiri tetapi diberi makan dengan 33 biji kilogram kopi.  Ini akan menghasilkan sekilo serbuk kopi.

Kajian mendapati enzim yang terhasil daripada tinja gajah mengandungi protein sekali gus menjadikan biji kopi gajah paling berkualiti.  Harganya juga agak tinggi disebabkan proses penghasilan yang rumit.  Ia dijual sekitar USD1,100 (dolar) untuk sekilogram.  Manakala secawan kopi berharga USD50 (dolar).

Walau bagaimanapun, biji kopi Arabica paling banyak digunakan oleh ramai pengeluar kopi di seluruh dunia.  Ia merupakan biji kopi premium. Rasa yang enak dengan kualiti terbaik menjadikan ia kopi kesukaan ramai.  Ia juga disebabkan rasanya ada sedikit manis semulajadi apabila dinikmati secara perlahan-lahan.

Islam menganjurkan umatnya agar memakan makanan yang halal dan baik.  Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:  “Dan makanlah daripada apa yang Allah rezekikan kepada kamu makanan yang halal lagi baik.”  (Surah al-Maidah, ayat 88)

Allah SWT melarang hamba-Nya memakan makanan yang kotor dan jijik.  Ia terdapat dalam Al-Quran yang bermaksud:  “Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala.”  (Surah al-Maidah, ayat 3)

Menurut Imam al-Nawawi:  “Jika ada haiwan memakan biji tumbuhan kemudian dapat dikeluarkan daripada perut, jika tetap keadaanya dengan sekiranya jika ditanam dapat tumbuh maka tetap suci.”

Justeru mencari yang halal adalah suatu kewajipan. Ini kerana makanan akan bersatu menjadi darah daging dan memakan rezeki yang haram akan menyebabkan doa kita sukar dimakbulkan.