Koronavirus baru – suatu hikmah tersembunyi

Terus sabar bersama di rumah © Somchai Sanguankotchakorn | Dreamstime.com

Tanpa diragui, Koronavirus baru adalah rahmat tersembunyi dari Allah Maha Suci dan Maha Mulia. Kesan dan akibat wabak COVID-19 ini seharusnya kita bimbangi. Namun, semua usaha-usaha penjarakan, penutupan dan penyekatan hebat yang tidak pernah kita alami ini telah membawa kita kembali insaf kepada yang Maha Pencipta, kepada ajaran-ajaran Islam, kepada perbuatan-perbuatan Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda) yang disayangi, dan juga kepada umat Islam keseluruhannya.

Virus ini secara terang telah memperkuatkan kepercayaan umat manusia kepada kuasa Tuhan, mendekatkan kita dalam beribadah, dan memusatkan perhatian manusia pada perkara yang paling penting – memohon pengampunan dan restu agar  sentiasa berada dalam peliharaan yang Maha Kuasa. Sememangnya, ada perkara-perkara yang jika dilihat dari sudut pandang yang sedikit berbeza, kelihatan cukup baik berkaitan dengan kemunculan wabak virus COVID-19.

Salah satu hasil yang paling penting dan positif dari penyebaran wabak coronavirus baru ini ialah sesebuah ahli keluarga telah dapat berkumpul di rumah mereka. Ini adalah peluang yang sangat sesuai bagi adik-beradik atau mungkin saudara-mara terdekat yang sudah lama tidak bertemu untuk berkumpul sesama sendiri mengikut kesesuaian. Bila difikirkan akan kesan langsung wabak ini, koronavirus baru juga telah menyebabkan mereka yang terus bermewah-mewahan atau menyimpang perbuatan dari jalan-jalan Allah, dapat memalingkan diri  kepadaNya semasa pengasingan ini.

Mengurangkan penyebaran virus melalui pengasingan individu tetap menjadi keutamaan. 1441 tahun yang lalu, Nabi Muhammad mengajarkan manusia tentang etika, yang masih belum berakar dalam diri manusia. Ini termasuk bagaimana untuk bersin, batuk dan menguap. Cara-cara membersihkan diri ini sekarang sudah menjadi amat relevan dan kita ucapkan terima kasih kepada Baginda di atas ilmu tersebut.

Wabak penyakit ini juga membantu dalam meningkatkan kesedaran global mengenai bahaya penjualan dan makan binatang liar, atau binatang yang tidak menjalani tatacara pemeriksaan yang seragam. Ia juga turut menyedarkan kerajaan supaya mengagihkan perbelanjaan ke dalam sektor kesihatan, bukannya berbelanja ke arah menguatkan kuasa ketenteraan.

Kemungkinan kejayaan lain akibat daripada koronavirus baru ialah terdapat negara-negara yang mulai mempertimbangkan semula keadaan tahanan dalam penjara. Kebersihan yang buruk di persekitaran tertutup boleh menjadi masalah besar dengan cepat ketika menghadapi wabak ini. Oleh itu, langkah-langkah pensterilan telah meningkat dengan mendadak dan kawalan kualiti makanan yang lebih menyeluruh juga dilaksanakan di beberapa negara. Dari sudut pandang ekologi,  inilah peluang bagi bumi untuk menarik nafas lega dari berbagai-bagai pencemaran dan kerosakan berterusan yang disebabkan oleh kilang dan jentera yang menebang hutan, mempercepat pencairan liputan-liputan ais dan mencemarkan sungai serta perairan.

Apa yang sedang kita alami sekarang adalah hasil dari kezaliman dan keangkuhan manusia sendiri. Mungkin ada yang berpendapat bahawa mereka tidak sepatutnya bertanggung jawab atas tindakan mereka mengingkari yang Maha Mengetahui, kerana mereka  beranggapan tanah dengan segala yang ada di atasnya adalah milik mereka. Akibatnya, Tuhan menghukum manusia kerana tindakan dan perbuatan sendiri, dan mengirimkan seakan amanatNya agar manusia kembali ke jalan yang benar.

Kita harus sedar bahawa malapetaka yang ditimbulkan oleh wabak COVID-19 ini, sebenarnya  bermanfaat dalam penambahbaikan rohani dan mematangkan manusia. Oleh yang demikian, jangan dibenci virus ini kerana apabila terhentinya segala kegemparan dan huru-hara, manusia keseluruhannya akan berubah dan berkembang maju. Segalanya tidak akan sama seperti dahulu.