Koronavirus: ujian Allah SWT untuk orang beriman

Iman Tari Basir 15-Nov-2020
Femme Musulmane tient les mains en l'air près des molécules de virus Corona
Virus COVID-19: ujian Allah SWT untuk orang beriman © Thanasate Chancherngrob | Dreamstime.com

Sehingga hari ini, virus COVID-19 telah terus-menerus memberikan impaknya kepada umat manusia tanpa memilih jantina, umur, kaum bahkan agama. Impak negatif yang berterusan dilontarkan oleh wabak ini kelihatan bagaikan tiada noktah. Terus hadir dalam lembaran hati manusia sebagai antagonis umat manusia yang tersangat ampuh.

Antagonis umat manusia ini bukan sahaja meragut kebahagiaan manusia dengan kehilangan pekerjaan mereka dan kejatuhan ekonomi negara yang mendadak. Ia turut meragut nyawa manusia.

Di Malaysia khususnya, siri-siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah mengambil pelbagai abjad seperti B (Bersyarat), D (Diperketat) dan P (Pemulihan) dilihat masih lagi tidak berjaya mengekang penyebaran wabak ini. Masih ada lagi kes-kes baharu yang direkodkan saban hari.

Virus COVID-19 menguji sejauh mana keimanan orang beriman

Golongan yang beriman juga tidak ketinggalan merasai impak wabak ini, walaupun hanya tempiasnya. Malahan, mungkin ada di kalangan orang beriman yang merasa impak besar wabak ini seperti kehilangan pekerjaan atau kehilangan orang yang tersayang.

Walau bagaimanapun, orang yang beriman sudah tentu menyedari hakikat ujian Allah SWT yang hadir di sebalik virus COVID-19 ini. Ia hadir untuk menguji keimanan mereka, dan untuk Allah mengetahui sejauh mana kebenaran iman mereka kepada-Nya.

Allah berfirman dalam Surah Al-Ankabut, ayat 2 dan 3 yang bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.”

Sungguh pun memang tidak dinafikan, sudah pasti ada air mata yang gugur dan keluh resah yang hadir di kalangan mereka yang beriman akibat pandemik ini. Kerana itulah tanda mereka hanya manusia yang diciptakan dengan penuh kelemahan, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

“Dan manusia diciptakan dalam keadaan lemah.” (Surah An-Nisa’, ayat 2)

Cara orang beriman menghadapi virus COVID-19

Apabila orang yang beriman menyedari hakikat kehadiran virus yang hadir bagi menguji keimanan mereka kepada Allah SWT, sudah tentu perkara pertama yang akan mereka lakukan ialah tidak berputus asa.

Meskipun mereka menangis dan berasa lemah akibat penangan wabak ini, namun mereka tidak akan sesekali berputus asa dan terus-menerus mencari kelangsungan kehidupan mereka.

Dalam usaha mencari kelangsungan kehidupan mereka itu, orang beriman akan memohon bantuan Allah SWT dengan berdoa. Juga menunaikan solat dan bersabar atas kesusahan yang menimpa. Kerana itulah yang diajarkan Allah kepada kesemua hamba-Nya.

“Dan mintalah pertolongan kamu sekalian dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”

(Surah al-Baqarah, ayat 45)

Kembali kepada Allah SWT dengan hadirnya virus COVID-19

Sungguh malang bagi mereka yang merasakan, wabak ini hadir kerana Allah SWT tidak menyayangi dan mahu menyusahkan mereka. Buruk sangka kepada takdir Allah dan putus asa daripada rahmat-Nya berterusan hadir mengisi hati yang kosong.

Sedarlah, bahawa sesungguhnya kehadiran wabak ini merupakan panggilan Allah SWT, yang mahu kesemua hamba-Nya kembali kepada-Nya. Kembali beriman, dan mengisi hati yang kosong dengan bersangka baik kepada takdir Allah dan menyedari rahmat-Nya yang banyak.

Maka, cubalah semak kembali diri kita. Adakah kita semua tergolong dalam kalangan orang beriman tatkala kehadiran virus COVID-19 ini, atau sebaliknya?