Kota Bukit Supai di Kuala Linggi, Melaka

Singgah Hanita Hassan 08-Nov-2020
Kota Bukit Supai di Kuala Linggi, Melaka © mpag.gov.my
Kota Bukit Supai di Kuala Linggi, Melaka © mpag.gov.my

Kota Bukit Supai atau lebih dikenali sebagai Fort Supai terletak di Kuala Linggi, iaitu di penghujung negeri Melaka yang bersempadan dengan Negeri Sembilan.

Ia adalah antara tapak bersejarah yang boleh dimasukkan dalam senarai lawatan anda sepanjang berkunjung ke negeri Melaka bersejarah. Bagi pencinta alam, ia boleh diteroka dengan pendakian kerana kedudukannya di kawasan berbukit berhampiran muara Sungai Linggi.

Simbolik usaha damai Belanda dan Bugis

Kepada pengunjung kali pertama, anda digalakkan memilih laluan dari arah Restoran Ikan Bakar Terapung Kuala Linggi ke kota tua ini kerana mudah untuk memakir kenderaan.  Anda perlu meniti jejambat yang dibina di atas air serta melalui celah-celah pokok paya bakau sebelum memanjat anak tangga ke kawasan puncaknya.  Meskipun tidak curam, namun bagi yang pertama kali mendaki pasti tercungap-cungap.

Kawasan ini juga boleh dimasuki melalui jalan pesisir pantai kawasan rumah-rumah penduduk kampung.  Ia merupakan laluan pintu masuk Barat mengadap Selat Melaka.  Oleh kerana kedudukan bukit ini yang strategik iaitu mengadap muara Sungai Linggi dan laut bahagian Barat menjadikan ia berharga di mata Belanda.

Kota ini suatu ketika dahulu dilengkapi kubu dan dinding serta meriam.  Ia dibina berasaskan batu merah atau laterit seperti pembinaan kota A’ Famosa di Banda Hilir.  Mengikut sejarah, kota ini dibina hasil persefahaman perdamaian antara pihak Bugis dengan Belanda sekitar tahun 1758. Tujuannya adalah bagi memantau pergerakan kapal dari Kuala Linggi ke selatan Selat Melaka.

Pihak Belanda tidak puas hati kerana Bugis menguasai perdagangan bijih timah di lembangan Sungai Linggi. Ini menyebabkan tercetus peperangan di antara kedua-dua pihak pada tahun 1756.  Perang ini berterusan selama dua tahun dan pada tahun 1757, satu perjanjian damai ditandatangani bersama. Pada tahun 1758, kota ini dibina sebagai simbolik usaha damai Belanda dan Bugis.

Selain berfungsi sebagai pusat pertahanan, ia juga menjadi pusat pengutipan cukai bagi semua jenis barangan terutama bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Linggi.  Kota ini juga bertindak sebagai pos kawalan  bagi memerhati aktiviti perdagangan di muara Sungai Linggi.

Pantai tenang dan bersih, lokasi pilihan yang damai

Sebelum Belanda mengambil alih, kubu ini merupakan kubu kuat tentera Bugis di bawah naungan Daeng Lima Bersaudara yang menguasai Linggi semasa mereka membina empayar Bugis. Ia adalah pusat jajahan dan kota persinggahan ketika Daeng Lima Bersaudara meluaskan tahta hingga ke Johor, Riau dan Lingga.

Berhampiran kota ini, terdapat pantai yang tenang dan tidak tercemar berbanding pantai berhampirannya. Ia boleh menjadi lokasi pilihan kepada anda yang suka kedamaian, jauh dari hiruk pikuk kota. Anda juga boleh menyaksikan Pantai Port Dickson serta kerlipan lampu dari Rumah Api Tanjung Tuan pada waktu malam.

Bagi anda yang datang dari luar Melaka, di kawasan berhampiran pantai terdapat banyak inap desa dan resort yang menawarkan harga berpatutan yang boleh disewa untuk menginap di situ.  Anda juga boleh memancing dan menikmati udara laut yang segar atau berenang melepaskan lelah.

Di antara kenikmatan dan kurniaan Allah SWT di bumi adalah lautan. Sepertimana firman-Nya dalam al-quran yang bermaksud:

“Dan Dia lah Allah yang menundukkan lautan (untukmu) agar kamu dapat memakan daripadanya daging yang segar (ikan)…”

(Surah an-Nahl, ayat 14)