Kreatif dan bersabar menjelang Ramadan dan Syawal

Budaya Ahmad Mahmud 20-Apr-2020
Kreatif dan sabar sebelum Ramadan dan Syawal © Szefei | Dreamstime.com

Kesan daripada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan, bermakna kita akan menyambut Ramadan pada 24  April ini dengan cara yang amat berbeza. Masyarakat Muslim harus bersedia untuk tidak melakukan tradisi kebiasaan menyambut Ramadan, dan mungkin juga Syawal.

Ramadan akan dihadapi tanpa sembahyang Tarawih berjemaah di masjid atau surau. Tiada aktiviti perniagaan gerai atau bazar Ramadan. Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, mungkin tiada amalan mengunjungi dan menziarahi ibubapa, adik beradik, saudara mara dan sahabat handai. Bagi golongan kanak-kanak, mungkin juga tiada pemberian duit raya tambahan.

Berdasarkan keadaan semasa dan norma kehidupan baru PKP ini, persediaan secara menyeluruh adalah diperlukan dari segi fizikal dan mental untuk meneruskan hidup kita di bulan Ramadan dan seterusnya. Kita juga harus menggunakan daya kreativiti dan sumber sedia ada supaya sambutan Ramadan dan Syawal boleh disambut dengan penuh makna dan meriah, walaupun dengan pergerakan yang terbatas.

Jika dilihat dari sudut yang positif berkenaan dengan bulan Ramadan dan Syawal, terdapat banyak hikmah yang boleh difikirkan ketika pemanjangan penguatkuasaan PKP ini berlangsung. Cara berfikir, perangai dan amalan kita pun sudah sedikit terbina sepanjang tempoh PKP yang lepas. Jiwa kita juga akan lebih kuat membentuk daya tahan dalam menghadapi ujian dan amalan sepanjang berpuasa.

Yang jelas dan bersesuaian dengan budaya Islam, kita dapat berjimat cermat dan boleh menumpukan lebih banyak masa dengan keluarga. Kebiasaan membuat kuih raya di rumah boleh dilakukan bersama anak-anak. Sembahyang Tarawih boleh dilakukan di rumah secara berjemaah dengan ahli keluarga. Jadual di rumah juga harus diubah mengikut kesesuaian aktiviti-aktiviti di bulan Ramadan.

Masjid dan surau boleh menyemarakkan Ramadan dengan memainkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran melalui pembesar suara. Komunikasi dengan jiran tetangga juga jangan dilupakan sambil mengambilkira keperluan penjarakan sosial. Seterusnya, pihak media boleh menjadi lebih kreatif dengan penawaran rancangan-rancangan radio dan televisyen yang lebih meluas dan sesuai bagi Muslim khususnya.

Mengenai sambutan Aidilfitri, tiada lagi keperluan untuk pulang ke kampung dengan memandu secara lama atau terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Laungan takbir dan khutbah aidil fitri boleh dilakukan oleh imam dan bilal dengan menggunakan pembesar suara. Penggunaan teknologi dan komunikasi maya boleh dimanfaatkan dengan aplikasi-aplikasi seperti Whatsapp, Skype dan Zoom.

Di hari raya pertama, foto-foto bersama ahli keluarga yang lengkap berpakaian baju raya boleh dikongsikan melalui media sosial, malahan boleh diteruskan dalam beberapa hari terawal Syawal. Aktiviti-aktiviti kreatif dalam rumah, pemberian duit raya, dan bertukar-tukar juadah Hari Raya juga boleh dilakukan sesama jiran bagi memeriahkan suasana. Sekali lagi, pihak media boleh menawarkan rancangan-rancangan hari raya yang lebih menarik minat masyarakat Muslim di pelbagai peringkat umur, terutamanya bagi kanak-kanak.

Pada masa yang sama, utamakan keselamatan dan kesihatan dalam apa juga aktiviti-aktiviti yang dilakukan. Pencegahan terhadap COVID-19 seperti penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dengan sabun dan sebagainya  harus diteruskan. Pastikan yang kita dapat terus menjalankan tanggungjawab dalam meringankan beban kerja kesemua yang terlibat dan terus berada di barisan hadapan dalam menangani wabak ini.