KTMB Perkenal Perkhidmatan “Business Class” Bagi Tren ETS2

Bagi pengguna setia perkhidmatan kereta api untuk perjalanan jarak jauh, pasti anda sering menggunakan tren elektrik ETS yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB).

Bukan sahaja menawarkan koc-koc yang selesa dan serba baharu, jadual ketibaan dan perjalanan tren itu juga sentiasa menepati masa, dan sudah tentu tiada masalah dari segi kesesakan lalu lintas di sepanjang perjalanan.

Ditambah lagi dengan pemandangan indah bukit-bukau, sawah padi, tasik dan kawasan-kawasan kampung yang dihidangkan di sepanjang perjalanan, ia menjadi sebab kenapa perkhidmatan tren ETS menjadi pilihan orang ramai.

Justeru, sebagai usaha untuk terus memberikan keselesaan kepada penumpang, terutamanya yang menuju ke bahagian utara tanah air, KTMB bakal memperkenalkan perkhidmatan koc Business Class bagi perkhidmatan tren ETS2 pada bulan Oktober ini.

“Kos kelas perniagaan yang eksklusif itu merupakan salah satu daripada enam gerabak ETS2 yang direka khas sebagai pilihan untuk penumpang yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren itu.

“Koc tersebut akan dilengkapi dengan kemudahan yang kondusif, seiring dengan jenama kelas perniagaan tersebut.

“Ini termasuk tempat duduk yang luas dan selesa berbanding kelas biasa serta perkhidmatan pramugara dan pramugari, khusus bagi koc perniagaan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Selain itu, para penumpang koc Business Class juga akan ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan (travel kit), audio video-on-demand, serta port USB.

Daripada kesemua jumlah tempat duduk dalam satu koc Business Class itu pula, 12 kerusi adalah kerusi perseorangan dengan selebihnya kerusi berpasangan.

Lebih menarik, setiap kerusi boleh dipusingkan mengikut arah tren bergerak.

 

Tiket-tiket bagi perjalanan dengan perkhidmatan koc Business Class tersebut yang akan bermula pada 11 Oktober 2019 telah pun dijual bermula 12 September yang lepas.

Bersempena dengan pengenalan koc baharu itu juga, KTMB turut mengumumkan harga tiket promosi RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala di antara KL Sentral dan Ipoh, dan RM112 bagi perjalanan dari KL Sentral-Padang Besar.

Promosi itu adalah sah bagi perjalanan antara 11 Oktober hingga 30 November 2019, dan harga tiket adalah termasuk hidangan dalam tren bagi setiap penumpang.

Bagi warga emas, pesara kerajaan dan isteri, orang kelainan upaya, kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun layak menerima diskaun konsesi, manakala kanak-kanak berumur 1 hingga 3 tahun (tanpa tempat duduk) tidak dikenakan sebarang bayaran.

Bagi sepanjang tahun lepas, sebanyak 3.91 juta penumpang telah menggunakan perkhidmatan ETS KTMB.

Dan sehingga Julai tahun ini sahaja, sebanyak 2.15 juta orang telah menaiki ETS dengan purata seramai 10,400 penumpang sehari.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan tren KTMB, boleh didapatkan di:

Laman web KTMB: www.ktmb.com.my

Facebook: ktmberhad

Instagram: ktmbofficial

Twitter: @ktm_berhad

Pusat panggilan 24 jam KTMB: 03-2267 1200

 

Foto: Facebook KTM Berhad