Kuasa doa menjadi-jadi

Kepercayaan Zalina Majid 17-Jul-2020
Berdoa dengan kepercayaan yang utuh kepada Allah SWT © Sarbinaz Mustafina | Dreamstime.com

Kita hidup kerana adanya Allah SWT. Kebergantungan hidup kita hanya kepada-Nya dan tiada yang lain. Bagi hati-hati yang sentiasa dalam sedar akan terus berharap tanpa henti. Ada ketika kita hilang arah dan seolah tanpa panduan sedangkan itu pilihan yang dibuat. Jelaslah bahawa hidup kita perlukan kekuatan dan senjata. Persisnya, tiada penawar yang lebih ampuh melainkan ‘DOA’.

Doa itu satu situasi bila seseorang hamba meminta-minta kepada Allah Yang Maha Mencipta. Allah SWT menurunkan ujian untuk menguji hamba-Nya kerana mahu mendengar rintihanya. Mintalah kepada Allah, mintalah apa sahaja. Allah berfirman dengan maksudnya: “Berdoalah kepada-Ku pasti Aku kabulkan untuk kalian.” (Al-Ghaafir : 60)

Allah SWT juga tetap akan memakbulkan doa seseorang hambanya sekalipun yang sedang berdoa itu bukanlah yang berada dalam agama kekasih-Nya. Siapa pun yang berdoa tetap adalah makhluk-Nya. Namun, teristimewa pula bagi mereka yang beriman adalah ganjaran pahala dan syurga sebagai janji-Nya.

Dengan berdoa, kuasa doa kita menjadi-jadi bila yakin dan percaya itu ada. Berdoalah walaupun dengan detikan di hati ia tetap dinamakan doa. Berniat dengan isi kehendak rasa penuh kehambaan agar Allah SWT perkenankan. Berkata-katalah dengan penuh perasaan memohon kepada-Nya tanpa jemu dan tanpa dihadkan situasi serta tempat.

Justeru, ujian untuk manusia ini berbagai-bagai, ada ujian keluarga, hubungan, kewangan, kerjaya dan kesihatan. Bermohonlah agar ia dipermudahkan. Allah SWT mendengar doa yang kita pohonkan.

Adakala doa itu termakbul dek kerana ada insan yang melihat dan mendoakan kita. Ini adalah kerana kebaikan dan manfaat yang dikongsikannya dengan berdoa. Jangan lokek berdoa untuk kebaikan orang-orang di sekeliling kita. Makin kerap kita berdoa dan meminta kepada Allah SWT makin banyaklah kebaikan yang kita dapat.

Bila sesuatu ujian datang, maka mulakanlah dengan berdoa. Terbitkan rasa syukur dari dalam diri dan belajar untuk capai tingkatan reda. Walaupun ada saatnya kita rasa sukar untuk menerima sebarang bentuk ujian. Allah SWT tidak suka kepada hambanya yang tidak berdoa dan meminta kepada-Nya. Kita juga perlu sedar bahawa Allah tidak berhajat kepada manusia sedangkan kita sangat memerlukan-Nya.

Sekali lagi Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal, ayat 33 yang bermaksud: “Tidaklah Allah mengazab mereka selama mereka memohon ampun (beristigfar kepada Allah).”

Percaya kepada doa yang dipohon membuatkan diri kita menjadi lebih positif, tenang dan sabar. Berdoalah dengan kepercayaan yang utuh kepada Allah SWT dengan apa yang kita minta. Jangan sekali berpaling dan kecewa kepada doa. Seiring dengan itu, kuatkan doa kita dengan zikir dan kita akan mula berfikir dengan sangkaan yang baik-baik kepada-Nya. Hasilnya, kuasa doa kita pasti menjadi-jadi dan makbul di sisi-Nya.