Kubis & Kale Hidang Poke Bowl Berwarna-Warni

Bagi mereka yang mencintai makanan sihat, ringan dan lazat, kini terdapat satu lagi pilihan lokasi selera yang boleh dikunjungi untuk memenuhi selera anda. Kubis & Kale yang dibuka secara rasmi pada 26 September lalu menghidangkan poke bowl berwarna-warni untuk dinikmati tanpa rasa bersalah.

Membawa tagline, ‘Poke, Cooked Foods & Vegans In A Bowl’, pembukaan kafe yang diasaskan oleh Chef Aaron Lim ini ini dilihat bertepatan dengan masa memandangkan semakin ramai rakyat Malaysia yang mula mengamalkan pemakanan sihat demi kesejahteraan hidup.

“Kubis & Kale mahu mengubah persepsi orang ramai yang sering menganggap makanan sihat adalah membosankan dan tidak sedap.  Kami memberi penekanan kepada pilihan apa yang kita makan, sumber dan cara penyediaannya.

Falsafah kami adalah memasak dari mula dengan menggunakan bahan-bahan bermusim yang sihat, menjalin hubungan dan bekerjasama dengan masyarakat petani, pembekal & masyarakat yang menyokong dan memperjuangkan makanan sebenar,” ujar Chef Aaron.

“Kami berusaha untuk memudahkan orang ramai untuk menjamu selera dengan makanan sihat yang segar dan berkualiti pada harga yang tidak terlalu mahal. Saya yakin mereka yang berkunjung ke sini akan mendapati makanan yang kami hidangkan mampu menambat selera. Malah, tidak mustahil mereka yang tidak biasa dengan hidangan sihat juga akan jatuh cinta dengan menu yang tersedia di sini.

Sajian makanan kami sangat menarik untuk seluruh generasi baharu, khususnya pengguna media sosial. Kami ingin menganggap Kubis & Kale sangat mengikuti trend tetapi tetap berpaksi kepada makanan yang sihat,” tambah Chef Aaron lagi.

Bagi mereka yang tidak pernah menikmati poke bowl, pasti anda ingin tahu tentang makanan ini bukan? Poke bowl merupakan hidangan yang berasal dari Hawaii yang terdiri daripada sayur-sayuran segar dan protein mentah yang dicampur sos khusus.

Semangkuk poke bowl biasanya terdiri daripada bahan asas seperti nasi (menggunakan beras Jepun) atau quinoa yang dilengkapi dengan pelbagai sayuran, salad dan protein seperti salmon, tuna, udang dan ayam.

Di Kubis & Kale, Chef Aaron sendiri yang mencipta rasa, memilih bahan-bahan dan mencipta perisa baru. Anda boleh memilih menu-menu yang terdiri daripada tiga kategori hidangan iaitu poke bowl (mentah & masak), makanan yang dimasak dan menu masakan untuk vegetarian dan vegan.

Satu lagi keistimewaan Kubis & Kale ialah, ia menggunakan bahan-bahan perap yang unik, diekstrak secara semulajadi daripada buah-buahan dan sayur-sayuran. Bahkan, sos yang digunakan juga merupakan hasil ciptaan Chef Aaron, bukan sos di dalam botol yang boleh didapati di pasaran.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang menu-menu yang tersedia, apa kata anda kunjungi Kubis & Kale yang terletak di Lot 2 & 4, Ground Floor, Jalan PJS 11/5, Bandar Sunway, Petaling Jaya Kafe ini beroperasi pada setiap hari dari jam  10.30 pagi hingga 10 malam.

 

Video: Rahim Rahman

Foto : NewSpin Communications