Kucaimars Jawab Persoalan Dalam Video Muzik

Mula meraih populariti apabila video lagu-lagu saduran dendangannya yang dikongsi menerusi laman media sosial mendapat sambutan hangat netizen, kini pemilik nama Amirul Husyairi Nani atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Kucaimars muncul dengan single debut berjudul ‘Jawab.’

Lagu itu merupakan single pertama penyanyi ini semenjak dilamar bernaung di bawah pengurusan syarikat rakaman Warner Music Malaysia.

‘Jawab’ merupakan karya ciptaan ahli kumpulan Akim & The Majistret iaitu Akim Ahmad dan Zarimi Zahari atau lebih dikenali dengan nama pena masing-masing, Hang Nadim dan Laq.

Single ini merupakan terbitan dan edaran Warner Music Malaysia.

Menonton video muzik rasmi Jawab arahan Elfie Nazari, ia membawa konsep jejaka yang dicurangi oleh teman wanitanya meskipun mereka kelihatan bahagia sama seperti pasangan bercinta yang lain.

Dibintangi oleh Kucaimars sendiri dan menampilkan Sharifah Rose, model yang mengukir nama melalui laman media sosial, video muzik ini diakhiri dengan babak wanita tersebut yang akhirnya tidak bahagia dengan teman lelaki baharunya.

Seperti yang selalu kita dengar, penyesalan pada akhirnya bagaimanapun tidak dapat mengembalikan cinta yang dibuang dahulu, begitulah pengakhiran video muzik ini.

‘Jawab’ boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 25 Januari 2019 manakala video muzik rasmi ‘Jawab’ sudah boleh ditonton di saluran Youtube Warner Music Malaysia sejak 29 Mac lalu.

Mula menyanyi sejak di bangku sekolah, Kucaimars, 21, pernah mengeluarkan single berjudul ‘I Miss You’ pada tahun 2015 ketika menganggotai sebuah kumpulan boyband remaja yang digelar Q4.

Setelah tamat pengajian pada Mac 2018, graduan Diploma Teknologi Kreatif (Teater) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana ini mula mendapat perhatian netizen apabila memperlihatkan bakatnya menerusi perkongsian video nyanyiannya di laman media sosial.

Pada Oktober 2018, popularitinya semakin melonjak apabila videonya yang menyanyikan lagu ‘Ragaman’ (nyanyian asal Faizal Tahir) dalam dialek Negeri Sembilan yang dimuatnaik di laman Instagram menjadi tular sehingga video tersebut mencapai ratusan ribu tontonan.

Populariti mendadak yang diterimanya itu telah melayakkan Kucaimars tercalon dalam kategori Penyanyi Paling Lit di Media Sosial dalam Anugerah Digital Muzik ERA (ERA Digital Music Awards) 2018 yang berlangsung pada 25 Januari 2019.