Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kucing terbiar pahala menanti

Alam Sekitar 16 Feb 2021
Pilihan
Kucing terbiar pahala menanti
Kucing terbiar pahala menanti © raksyBH | Dreamstime.com

Kucing adalah haiwan kesayangan ramai.  Wajahnya yang comel sering memikat hati untuk dibelai dan dicium.  Meskipun ada kalangan anda yang alahan dengan bulunya, namun kecerdikan dan sifat kucing yang manja membuatkan anda sentiasa mahu memanjakannya.

Beberapa jenis kucing yang sering kita dengar namanya yang menjadi peliharaan ramai.  Kucing kampung paling popular dan mudah diperolehi.  Kucing Persia sangat comel seperti anak patung. Sifat semula jadi kucing yang manja membuatkan kita pasti geram setiap kali membelainya.

Kucing terbiar pahala menanti

Namun, anda pasti mempunyai pengalaman makan di premis terbuka dan dihurungi dengan kucing-kucing terbiar tidak bertuan. Adakalanya kucing-kucing ini akan melompat naik ke atas meja tanpa rasa takut untuk mendapatkan makanan.

Ada masanya kucing ini diberikan sisa makanan, tidak kurang juga yang memukul dan menolaknya begitu sahaja. Situasi ini menimbulkan suasana yang tidak harmoni kepada kawasan tempat makan yang sepatutnya bersih.

Bagi pencinta kucing, anda pasti kasihan melihat situasi begini.  Namun anda tidak mengambil tindakan kerana banyak faktor.  Ada kucing yang kurus kering kerana tidak makan berhari-hari, diserang penyakit dan tidak kurang juga yang cedera akibat pelakuan mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kucing juga makluk Allah Taala yang perlu hidup, makan, minum dan tempat tinggal yang selamat. Islam menganjurkan supaya umatnya turut menjalankan tanggungjawab sosial terhadap haiwan-haiwan terbiar termasuk kucing.

Allah SWT telah menetapkan prinsip ihsan dalam setiap perkara. Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ‘al-Ihsan’ ke atas setiap perkara, maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaik-baiknya, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan sebaik-baiknya.  Hendaklah kalian tajamkan pisau supaya binatang disembelih mati dengan lebih cepat dan mudah.”

(Hadis riwayat Muslim, 1955)

Semakin ramai pencinta kucing

Seorang wanita telah diazab di neraka disebabkan oleh sikap tiada belas ihsan terhadap seekor kucing.  Kelihatan perkara ini remeh, tetapi usah sekali-kali diambil mudah.  Sabda Baginda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 3318 dan Muslim, 2619)

Hari ini kita dapati semakin ramai pencinta kucing, badan sukarelawan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin. Mereka mengambil inisiatif mengumpulkan kucing-kucing terbiar, memberi makan, menyediakan tempat tinggal dan memberi rawatan.

Kemudian kucing-kucing yang telah sihat ini diserahkan kepada tuan baharu secara percuma.  Usaha murni ini sangat baik dan perlu diteruskan kerana untuk menjadi sebuah negara maju, penduduk di dalamnya perlu maju dalam segenap aspek.  Ia termasuk menyayangi haiwan dan binatang.

Sesungguhnya memberi makan kepada haiwan terbiar dan tidak bertuan merupakan amalan terpuji yang harus dicontohi.  Allah SWT menjanjikan balasan yang baik kepada hamba-Nya yang bersifat ihsan kepada haiwan.

Sepertimana kisah seorang lelaki yang memberi minum seekor anjing yang kehausan pada zaman Rasulullah SAW.  Mulianya hati lelaki itu apabila dia sanggup masuk semula ke dalam perigi semata-mata untuk mengambil air dan memberi minum anjing yang kehausan.

Semoga usaha kita yang prihatin dan sayangkan kucing dapat menambah saham pahala di akhirat. Aamin.