Kuih raya terpilih yang popular di Malaysia

Makanan Chan Abdullah 24-Mei-2020
Pelbagai kuih raya popular © Mohdoqba | Dreamstime.com

Masyarakat Malaysia terutamanya kaum Melayu, pastinya sangat ternanti-nanti ketibaan Hari Raya Aidilfitri. Walaupun Aidilfitri tahun ini ramai yang terpaksa menyambutnya di rumah masing-masing, ianya tidak menjadi penghalang untuk orang ramai membuat persiapan hari raya.

Selain menghias rumah, kuih raya juga antara satu tradisi yang tidak boleh ditinggalkan. Mungkin tahun ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ramai yang memilih untuk cuba memghasilkan kuih raya sendiri. Tidak kisahlah sama ada beli atau buat sendiri, kuih raya memang seolah-olah wajib ada ketika sambutan hari raya.

Mari kita lihat beberapa kuih raya terpilih yang popular di Malaysia.

Kuih Bahulu – Kuih tradisional ini sudah ada sejak zaman berzaman lagi. Kuih yang diperbuat daripada adunan telur, tepung gandum, dan gula ini menjadi pilihan semua generasi umur. Ketika ini kuih bahulu ini sangat mudah didapati di pasaran kerana sambutan yang menggalakkan. Malah ianya boleh didapati di kebanyakan pasar raya dan pasar mini hampir setiap hari.

Kuih Bangkit – Kuih ini biasanya menjadi pilihan golongan yang lebih berumur. Jika dahulu kuih ini dibakar dengan menggunakan sabut. Zaman sekarang ianya dibakar menggunakan ketuhar elektrik sahaja.

Batang Buruk – Kuih yang berbentuk seperti batang kayu ini disaluti dengan gula di bahagian luarnya. Walaupun terdapat versi baru yang lebih moden, ada yang lebih gemarkan versi yang asal.

Kuih kapit – Kuih ini sebenarnya berasal daripada masyarakat Cina yang berhijrah ke Malaysia. Lama kelamaan, ianya juga telah menjadi pilihan masyarakat Melayu dan kemudiannya menjadi salah satu kuih raya yang popular.

Biskut Semperit – Walaupun nampak ringkas, Biskut Semperit ini dihasilkan melalui pelabagai jenis adunan tepung. Aromanya yang wangi menaikkan selera di pagi raya.

Biskut Mazola – Biskut ini juga dikenali sebagai Biskut Kacang. Mendapat gelaran Biskut Mazola kerana salah satu bahan yang digunakan untuk membuatnya dahulu adalah minyak jagung jenama Mazola.

Tempeyek/Rempeyek – Salah satu makanan kegemaran pada hari raya. Kerangupan dan kelazatan Tempeyek pastinya memikat hati.

Tat Nenas – Mempunyai jem nenas sebagai intinya. Tat Nenas adalah antara kuih raya yang cukup popular di Malaysia.

Almond London – Kuih raya moden yang makin menambat hati semua golongan. Biskut yang disaluti coklat ini mempunyai badam sebagai intinya.

Bagaimana dengan hidangan raya anda tahun ini. Anda memilih untuk beli sahaja kuih atau buat sendiri?