Kuih Raya Tradisional vs Kuih Raya Moden

Sebut sahaja pasal kuih raya, pastinya dalam fikiran masing-masing sudah terbayang pelbagai jenis kuih kegemaran yang saban tahun dinikmati.

Bagi yang mempunyai lebih masa, ada sahaja ‘projek’ membuat kuih raya yang ingin dilakukan dengan menggunakan resipi-resipi yang diperoleh hanya menggunakan internet.

Manakala bagi yang sibuk bekerja pula, sudah pasti awal-awal lagi tempahan kuih raya telah dibuat kepada rakan-rakan yang mengambil upah membuat kuih raya.

Namun, seiring dengan perkembangan teknologi dan trend makanan, kuih raya tidak terkecuali daripada  mengalami perubahan modenisasi.

Pelbagai jenis kuih raya moden dengan nama-nama yang kebanyakannya menggunakan bahasa Inggeris kini mendapat tempat dalam hati orang ramai.

Ada yang benar-benar lazat, dan agak sukar untuk membuatnya, namun ada juga yang hanya indah khabar daripada rupa.

Walau apa juga jenis dan nama kuih raya moden itu, kuih raya tradisional seharusnya tidak dilupakan sama sekali kerana ia merupakan makanan dan resipi turun temurun daripada nenek moyang kita.

Tidak kurang hebatnya kuih-muih tradisional, banyak yang masih menjadi pilihan utama orang ramai untuk dinikmati pada pagi raya.

Berdasarkan satu kaji selidik secara rambang yang kami lakukan di Instagram SalamToday, sebanyak 58% netizen memilih kuih raya tradisional, berbanding 42% yang memilih kuih raya moden.

Berikut kami senaraikan pilihan mereka bagi lima jenis kuih tradisional paling digemari dan lima jenis kuih raya moden paling digemari.

 

Top 5 Kuih Raya Tradisional

 

1. Semperit

Boleh dikatakan kesemua rumah yang kita kunjungi, pasti ada dihidangkan biskut semperit. Apa yang menjadikan sebiji biskut semperit itu lazat adalah teksturnya yang rapuh dan lembut, dengan rasa susu yang lemak manis. Pasti memikat selera bukan sahaja dalam kalangan golongan dewasa, malahan orang tua dan kanak-kanak.

Dapatkan resipi membuat biskut semperit di iResipi.com

 

2. Batang Buruk

Meskipun namanya ‘buruk’, namun kuih ini tidaklah seburuk yang disangka, malahan amat lazat untuk dinikmati pada pagi raya. Dengan rasa rangup kemanis-manisan kacang hijau dan disalut pula dengan sebuk manis, resipi tradisi turun-temurun ini tetap diminati oleh golongan muda.

Resipi kuih batang buruk boleh didapatkan di sini.

 

3. Makmur

Mempunyai persamaan dengan kuih semperit dan batang buruk, iaitu bertekstur rangup namun gebu untuk dimakan, kuih makmur digemari ramai kerana rasanya yang manis. Dengan inti kacang di dalamnya, kuih tradisional ini sebenarnya tidak sukar untuk disediakan kerana ia memerlukan bahan-bahan yang amat minimal.

Ingin cuba membuatnya? Ikuti resipi ini.

 

4. Bahulu

Merupakan kuih tradisional yang boleh dianggap paling sukar untuk dimasak jika menggunakan cara tradisional. Cuba bertanya kepada ibu atau nenek anda, bagaimana untuk memasak kuih bahulu pada zaman dahulu? Ia perlu menggunakan sabut kelapa dan dibakar di atas asap! Mujurlah zaman kini telah berubah, kerana anda boleh menyediakan bahulu dengan menggunakan ketuhar. Paling lazat, adalah apabila ia dimakan ketika masih panas. Nikmat tak terkata!

Cuba resipi bahulu di Rasa.

 

5. Kuih Sarang Semut

Mempunyai nama yang unik, ia mungkin disebabkan oleh rupa paras dan bentuknya yang kelihatan seakan-akan sarang semut. Ia merupakan antara biskut raya yang paling mudah untuk disediakan kerana hanya perlu ditekan pada penapis untuk menghasilkannya.

Mahu mencuba membuatnya? Boleh dapatkan resipi di sini.

 

Top 5 Kuih Raya Moden

 

1. Tat Nanas

Merupakan kuih moden yang paling mendapat undian tertinggi dalam kalangan orang ramai! Dengan jem nanas enak yang dibalut di dalam sebiji biskut mentega gebu, tat nanas menjadi pilihan di musim raya dan pada hari-hari biasa. Tat nanas yang pada asalnya merupakan sejenis kuih tradisional, kini telah dimodenkan dengan pelbagai versi terkini. Ia termasuklah dari segi bentuknya yang digulung, yang menjadi tat nanas gulung serta kepelbagaian perisa seperti tat blueberry, tat cheese, nutella dan tat telur.

Bagi yang ingin membuat sendiri kuih tart nanas, boleh mencuba resipi yang disarankan oleh El Mundo Eats.

 

2. Almond London

Biskut almond London adalah buah badam panggang yang diletakkan di dalam biskut mentega susu, serta disalut pula oleh coklat cair dan potongan buah badam di atasnya. Segah namanya, biskut moden ini menjadi kegemaran golongan muda terutamanya para pencinta coklat.

Jika kebiasaannya anda membeli biskut ini sebelum ini, apa kata kali ini anda mencuba sendiri mengikut resipi yang dikongsi di El Mundo Eats ini.

 

3. Cornflakes Madu

Rasanya ini merupakan kuih raya moden yang paling mudah disediakan. Dengan hanya menggunakan empingan jagung Cornflakes, madu, mentega, gula kastor dan taburan hiasan manik, sesiapa sahaja boleh membuat sendiri biskut ini. Ia pastinya enak dimakan sebagai kudapan sambil menonton rancangan televisyen raya kegemaran anda.

Resipi membuatnya boleh dirujuk di Wanista.

 

4. Chocolate Chip

Meskipun biskut chocolate chip turut boleh dimakan pada bukan musim perayaan, namun ramai yang tetap memilih biskut ini sebagai kuih raya yang wajib ada bagi mereka. Disebabkan rasanya yang manis dan chip coklat di dalamnya yang cair di mulut, biskut ini sememangnya diminati oleh golongan muda dan kanak-kanak terutamanya.

Antara resipi mudah biskut chocolate chip boleh didapatkan iResipi.

 

5. Lidah kucing

Bunyinya seperti menyeramkan bukan? Namun, jangan khuatir, kerana biskut ini sebenarnya amat berwarna-warni dan ceria bagaikan pelangi! Disebabkan itu, ada sesetengah orang menggelarnya sebagai Biskut Pelangi kerana ia mengetengahkan warna-warna pelangi dan berbentuk bujur seakan-akan lidah kucing. Biskut ini semakin mendapat permintaan ramai dan turut dijual di luar musim hari raya.

Dapatkan resipi biskut Lidah Kucing di Buku Resipi.

 

Foto: iResipi, Usia Muda, Dari Dapur, Rasa, El Mundo Eats, Wanista, Buku Resipi, Cookpad (Pinterest)