‘Kuntilanak 2’ Menceritakan Asal Usulnya

Filem seram dari Indonesia sering menjadi tumpuan peminat filem Malaysia yang sukakan genre sedemikian sejak tahun 80-an lagi. Ini kerana masyarakat serta budaya Indonesia memang terkenal dengan kisah mistik dan paranormal purba.

Kini biarpun sudah menjangkau era milenium baru di tahun 2019, penggiat filem Indonesia masih belum jemu menerbitkan cerita-cerita seperti ini.

Terbaru menjenguk pawagam Malaysia, adalah filem ‘Kuntilanak 2’ yang juga merupakan kesinambungan kepada filem ‘Kuntilanak’ pertama yang pernah menemui penonton pada tahun 2018.

Kali ini, ia membongkar asal-usul kemunculan makhluk halus Kuntilanak yang menghantui kehidupan manusia di sekitarnya.

Kisah kali ini bermula dengan sebuah babak pemujaan ilmu hitam oleh seorang lelaki Jawa kuno yang menyeru kehadiran makhluk Kuntilanak ke dunia.

Makhluk itu kembali dan membunuh si pengamal ilmu hitam itu dan mula menjelma menjadi seorang wanita cantik bernama Karmila.

Makhluk yang menyamar sebagai Karmila ini kemudian pergi ke rumah seorang wanita bernama Donna dan memberitahu bahawa Dinda, anak yang dijaga oleh Donna adalah anak kandungnya dan dia mahu Dinda kembali ke pangkuannya.

Dinda yang memang dari dulu ingin bertemu dengan ibu kandungnya menggesa Donna untuk membenarkannya mengikuti Karmilla.

Namun Donna memberitahu yang dia ingin memastikan dulu kesahihan Karmilla dengan merujuk kepada rumah anak yatim yang menjaga Dinda waktu kecil. Walau bagaimanapun, Donna membenarkan Dinda untuk pergi ke rumah Karmilla bersama-sama dengan adik beradik angkatnya yang lain termasuk Julia yang paling sulung dengan teman lelakinya Edwin.

Namun sepanjang perjalanan ke rumah Karmilla yang terletak di kawasan hutan, pelbagai perkara aneh dan menyeramkan mula terjadi sehinggalah satu persatu rahsia tentang masa lalu Dinda terbongkar.

Buat yang meminati filem seram Indonesia dan adegan-adegan yang akan membuat anda terkejut, pastikan anda menonton Kuntilanak 2 yang mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 25 Julai 2019.