Kunyit Membahayakan Kesihatan?

turmeric roots in the basket on wooden table

Seberapa kerapkah anda menggunakan kunyit dalam masakan atau memakan makanan yang berkunyit?

Ikan goreng, ayam goreng, masak lemak cili padi atau nasi ayam kunyit, itu semua adalah antara contoh makanan kegemaran ramai yang mengandungi kunyit.

Jadi, ada apa dengan kunyit?

 

Peningkatan neurotoksin dalam darah

Tahukah anda; dalam satu kajian yang diterbitkan di Environmental Research, sekumpulan penyelidik dari Stanford University mendedahkan bahawa kunyit mungkin menyebabkan peningkatan neurotoksin dalam darah, sekali gus meningkatkan ancaman kepada kesihatan secara keseluruhan.

Dalam kajian yang dilakukan sejak 2014, para penyelidik berusaha mencari punca yang menyebabkan peningkatan neurotoksin dalam darah pada kebanyakan penduduk Bangladesh, khususnya dalam kalangan individu wanita dan kanak-kanak luar bandar.

Menerusi analisis sampel tanah dan temu ramah yang dilakukan penyelidik dengan petani dan para pembuat rempah, ternyata ia telah memberikan jawapan mengejutkan kepada persoalan yang timbul selama ini.

Menurut salah seorang penyelidik, Jenna Forsyth, pada mulanya, mereka beranggapan punca keracunan plumbum adalah dari alam sekitar, iaitu mungkin tanah atau air, atau mungkin berpunca daripada saluran paip utama.

“Walau bagaimanapun, hasil penyelidikan membawa kami kepada satu jawapan dan penjelasan yang mengejutkan. Ia adalah mengenai bahan yang ditambah ke dalam makanan yang dimakan. Itulah puncanya,” jelas Jenna.

 

Tercemar dengan plumbum

Sebelum itu, terdapat kajian yang mengaitkan kunyit yang mungkin menyebabkan keracunan plumbum.

Namun, selepas lima tahun kajian berterusan dilakukan, hasilnya mendapati bahawa kunyit sememangnya mempunyai kaitan langsung dengan tahap neurotoksin dalam darah.

Keputusan itu dicapai setelah pasukan penyelidikan tersebut membuat lawatan ke atas sembilan daerah utama pengeluaran kunyit di Bangladesh bersama dua daerah yang menghasilkan sedikit rempah.

Di setiap lokasi kajian, penyelidik melakukan 154 wawancara ke atas individu yang menghasilkan dan menggunakan kunyit.

Kajian turut mengumpul sampel kunyit, pigmen, habuk dan tanah dari pasar borong dan kedai runcit.

Hasilnya, sampel dan pigmen kunyit tujuh daripada sembilan daerah didapati tercemar dengan plumbum.

Bukti pencemaran terbaik adalah daripada analisis isotop, di mana penyelidik menemui cap jari kimia.

Isotop yang diperolehi adalah sama dengan apa yang ditemui dalam darah pekerja industri penghasilan rempah kunyit di sana.

“Daripada hasil kajian ini, kami mengesyorkan campur tangan segera daripada pengeluar dan pengguna kunyit untuk menangani krisis yang melibatkan kesihatan awam. Ini adalah penting untuk memastikan kunyit bebas daripada plumbum,” ujar salah seorang penyelidik kajian itu.

 

Kunyit sebagai antara rempah utama masakan

Seperti di kebanyakan negara Asia lain, Bangladesh turut tidak terkecuali menjadikan kunyit sebagai antara rempah utama.

Malahan berdasarkan kajian yang dilakukan, ia adalah bahan yang dimasukkan ke dalam makanan setiap hari.

Tanpa mengira jumlah, kandungan plumbum boleh menjadi toksik kepada otak dan badan serta boleh menurunkan IQ dan mengganggu perkembangan normal badan, terutamanya kepada golongan kanak-kanak.

Malahan dalam kajian yang pernah diterbitkan pada tahun 2018, pasukan penyelidikan Stanford yang sama pernah mendedahkan lebih 30% daripada 430 individu wanita hamil di pedalaman Bangladesh terdedah dengan toksin plumbum di dalam darah mereka.

 

Penjagaan kesihatan

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa hasil penyelidikan tersebut adalah berdasarkan kunyit yang dihasilkan di Bangladesh.

Namun, meskipun tiada bukti yang mengatakan bahawa rempah kunyit yang dihasilkan di Bangladesh dieksport ke luar dari negara itu, tapi itu bukan bermaksud anda boleh mengabaikan isu ini.

Sebaiknya, hadkan pengambilan kunyit dalam penghasilkan makanan seharian anda sebagai langkah berjaga-jaga.

Penulisan ini dipetik daripada artikel bertajuk “Awas! Kunyit Ancam Kesihatan – Kajian” dari Hello Doktor.

 

Foto: Andy Holmes, Zahrin Lukman (Unsplash) & Areeya, Sommai Larkjit (123rf)

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Tahukah anda; dalam satu kajian yang diterbitkan di Environmental Research, sekumpulan penyelidik dari Stanford University mendedahkan bahawa kunyit mungkin menyebabkan peningkatan neurotoksin dalam darah, sekali gus meningkatkan ancaman kepada kesihatan secara keseluruhan.